suria

Nicol, Azlan Dominasi Terbuka Malaysia 2010

PETALING JAYA: Ratu skuasy negara, Datuk Nicol Ann David berjaya mempertahankan mahkota kejuaraan keenamnya pada Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia CIMB selepas menewaskan Jenny Duncalf, 11-6, 6-10, 11-7, 10-12, 11-5 dalam saingan akhir di pusat membeli-belah The Curve, Mutiara Damansara di sini, Sabtu.

Aksi penuh mendebarkan selama 72 minit itu menyaksikan Duncalf, pemain nombor dua dunia melakukan beberapa asakan balas untuk mengheret permainan sehingga set kelima.

Nicol bangkit pada set kelima untuk mematikan langkah Duncalf yang melakukan beberapa kesilapan selepas mempamerkan pukulan agresif dengan memenangi set kedua dan keempat.

"Ia perlawanan sukar selepas pertemuan dengan Alison Waters di pusingan separuh akhir, Jumaat. Menyedari permainan diheret ke set penentuan, saya perlu menggandakan usaha. Saya kembali menemui semula rentak permainan dan gembira kerana berjaya menyekat pergerakan Duncalf," kata Nicol ketika ditemui media selepas tamat perlawanan di sini, Sabtu.

Pada 2009, Nicol berjaya menundukkan Waters dari England yang juga lawannya pada aksi separuh akhir, semalam.

Jika Nicol dipaksa bermandi peluh oleh Duncalf, berlainan pula dengan pemain pilihan keempat, Mohd Azlan Iskandar.

Dia berjaya menundukkan Tarek Momen dari Mesir dengan mudah untuk mencatatkan kemenangan 11-5, 11-6, 11-8.

Tahun ini membawa tuah buat Azlan kerana berjaya mengubat kekecewaannya pada edisi 2009 memandangkan dia tidak menyertai kejohanan itu kerana kurang sihat.

"Saingan kali ini berbeza dengan kejohanan tahun lalu. Saya masih lagi ingat sehingga ke hari ini, saya sekadar menyaksikan kesemua perlawanan di atas katil kerana kurang sihat," kata Azlan.

Ketika terikat 7-7, pemain berusia 28 tahun itu bijak mengatur strategi permainannya untuk mengekang kemaraan Tarek sebelum merangkul kejuaraan ketiga buat dirinya dalam tempoh 37 minit.

"Saya bermain dengan penuh emosi pada perlawanan tadi kerana terlalu inginkan kemenangan ini. Tarek beraksi pada tahap terbaik dan dia memang lawan yang sukar. Namun saya gembira kerana berjaya mencipta kejayaan pada kali ini," jelasnya.

Selepas kejohanan ini, Azlan memberitahu dia akan berehat beberapa hari sebelum memberi tumpuan terhadap sesi latihan untuk Sukan Asian dan Sukan Komanwel yang akan berlangsung hujung tahun ini.

Malah, dia tidak akan beraksi pada Kejohanan Terbuka Australia untuk memantapkan kecergasan fizikalnya.

Azlan pernah memenangi kejohanan ini pada 2004 dengan menundukkan Wael El Hindi dari Mesir dan pemain Australia, Steward Boswell pada 2007.

Edisi ke-29 yang melabuhkan tirainya hari ini menyaksikan Nicol membawa pulang hadiah bernilai AS8,122 (RM25,949 ) manakala Azlan memperoleh AS7,720 (RM24,665 ).

Artikel Berikut

Artikel Lain