suria

Nicol, Azlan Mara Ke Final Terbuka Malaysia

Kehebatan Nicol sukar digugat Waters. Foto THE STAR GLENN GUAN
Kehebatan Nicol sukar digugat Waters. Foto THE STAR GLENN GUAN
Kehebatan Nicol sukar digugat Waters. Foto THE STAR GLENN GUAN

PETALING JAYA: Ratu skuasy negara, Datuk Nicol Ann David menepati ramalan awal untuk mara ke pusingan akhir Kejohanan Skuasy Terbuka CIMB Malaysia 2010 selepas menewaskan pemain dari England, Alison Waters 14-12, 12-10, 6-11, 11-7 pada aksi separuh akhir di pusat membeli-belah The Curve, Mutiara Damansara, di sini, Jumaat.

Memulakan permainan dengan gaya permainan tersendiri, Nicol kini semakin hampir untuk memburu kejuaraan keenamnya pada perlawanan penentuan yang akan berlangsung pada jam 4.00 petang hari ini.

Ketinggalan jauh di set kedua, Nicol bangkit merapatkan kedudukan dengan catatan 12-10. Namun Waters, pemain pilihan keempat, kembali meniup harapan di set ketiga dengan 11-6 untuk mengheret permainan ke set keempat.

Begitupun, dia gagal mengekalkan rentak permainannya sebelum memberi laluan kepada Nicol untuk memenangi set keempat dengan mudah dalam perlawanan yang berlangsung selama 64 minit.

"Perlawanan tadi begitu sengit. Alison bermain dengan begitu bagus sekali dan tidak mudah menyerah kalah. Ia merupakan persembahan yang menakjubkan dari Alison berbanding pertemuan mereka pada aksi final di kejohanan sama tahun lalu," katanya ketika ditemui media selepas tamat permainan di sini.

Menyentuh mengenai perlawanan hari ini, anak kelahiran Pulau Mutiara itu tidak mahu memikirkan mengenai kejuaraan keenam, sebaliknya memberitahu dia sudah bersedia untuk bertemu pemain pilihan kedua, Jenny Duncalf.

"Duncalf pastinya akan memberi persembahan kompetitif dan menjanjikan perlawanan menarik hari ini. Namun saya gembira kerana berjaya menempah tiket ke final dan berupaya meletakkan kedudukan 3-1 untuk keseluruhan permainan," tambahnya.

Sementara itu, ketangkasan pemain bukan pilihan, Farhan Mehboob masih belum berupaya mengekang kemaraan pemain pilihan keempat, Mohd Azlan Iskandar untuk mengisi slot ke final hari ini.

Begitupun, pemain kelahiran Sarawak itu dipaksa bermandi peluh oleh Farhan sebelum mencatat kemenangan 11-7, 11-7, 11-7 dalam masa 54 minit.

"Taktik saya kali ini menjadi. Farhan bermain dengan pantas dan bijak mengatur pergerakan tetapi saya cuba menyekat strategi permainannya," kata Azlan.

Di awal permainan, Azlan mengakui dia tidak beraksi pada tahap terbaik tetapi berjaya menemui semula rentak pada set kedua sebelum mengatasi pemain dari Pakistan yang mula bertindak agresif di set ketiga.

"Saya banyak bermain dengan sabar. Namun saya gembira kerana berjaya menamatkan saingan dalam tiga set saja," ujarnya.

Dalam pada itu, Azlan memberitahu dia menetapkan sasaran untuk bergelar juara sekali gus mahu mengulangi kejayaannya pada 2007.

"Saya harap dapat menang pada kejohanan kali ini memandangkan saya sudah berlatih dengan keras selama ini. Itu sasaran saya," katanya.

Pemain berusia 28 tahun itu akan bertemu pemain ranking ke-23 dunia, Tarek Momen yang berjaya mematikan langkah pemain pilihan utama, Mohamed El Shorbagy pada Jumaat.

Tarek, pemain dari Mesir terpaksa berhempas pulas untuk mengheret permainan hingga ke set kelima dengan keputusan 8-11, 13-11, 2-11, 11-4, 12-10 dalam masa 75 minit.

Dalam saingan awal separuh akhir wanita, permainan selama 54 minit menyaksikan pemain pilihan kedua, Jenny Duncalf menundukkan Raneem El Weleily dari Mesir 11-8, 11-5, 8-11, 12-10.

Artikel Lain