suria

Felda United, Sabah Melangkah Ke Liga Super Musim Depan

KUALA LUMPUR: Felda United dan Sabah melangkah ke Liga Super musim depan selepas masing-masing menduduki tangga teratas dan kedua Liga Perdana yang melabuhkan tirainya malam tadi.

Namun pada perlawanan malam tadi, Felda United sekadar seri tanpa jaringan dengan Angkatan Tentera Malaysia sementara Sabah memintas kedudukan Selangor PKNS dengan menumpaskan Pos Malaysia 1-0.

Selangor PKNS yang sebelum ini berada di tangga kedua, tewas 1-2 kepada Harimau Muda dan turun ke tangga ketiga.

Hanya dua pasukan teratas Liga Perdana akan dinaik taraf untuk bersaing di Liga Super musim depan.

Pasukan Felda United mengutip 50 mata daripada 22 perlawanan, menang 15 kali, seri lima kali dan tewas dua kali sementara Sabah mengutip 48 mata, menang 15 kali, seri tiga kali dan tewas empat perlawanan.

Di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Selangor PKNS tumpas 1-2 kepada Harimau Muda.

Harimau Muda terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-22 menerusi D.Savindran sebelum A.Thamil Arasu menambah jaringan pada minit ke-41.

Gol saguhati Selangor PKNS dijaringkan oleh Christe Jayaseelan, tiga minit sebelum tamat perlawanan.

Di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, gol jaringan Md Farid Ideris seawal minit keempat perlawanan membolehkan Sabah menumpaskan Pos Malaysia 1-0.

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) membelasah Majlis Perbandaran Muar 8-0.

Gol-gol PDRM dijaringkan oleh Mohd Afif Amiruddin (min ke-10, 71), Mohd Fauzi Abd Majid (22), Eddy Gapil (45, 55, 67,82) dan S.Harivarman (59).

Di Stadium Olahraga Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang, tuan rumah USM FC menewaskan pasukan tercorot liga, Shahzan Muda 4-1.

Gol USM FC dijaringkan oleh Mohd Afzan Zainal Abiddin (min ke-15, 24 dan 46) dan Mohd Fauzan Zainal Abiddin (min ke-59) sementara gol tunggal pasukan lawan dijaringkan oleh Raja Mohd Hafillah seawal minit ke-3.

Di Stadium Hang Tuah, Sarawak membenam pasukan kedua tercorot liga, Melaka 6-1.

Pasukan Shahzan Muda menduduki tangga tercorot daripada 12 pasukan yang bersaing di Liga Perdana musim ini selepas hanya mengutip lima mata daripada 22 perlawanan, menang satu, seri dua dan tewas 19 perlawanan. - BERNAMA

Artikel Lain