suria

Belia, Sukan Sama Penting Bagi KBS

PUTRAJAYA: Walaupun tampak lebih cenderung kepada sukan, Kementerian Belia dan Sukan sebenarnya tidak pernah mengetepikan portfolio belia, malah peruntukannya kepada 7,000 persatuan belia di seluruh negara melebihi perbelanjaan yang disediakan untuk bidang sukan.

Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Datuk Mohd Yasin Mohd Salleh berkata, berlawanan dengan arena sukan yang mendapat pendedahan luas media, laporan mengenai kegiatan belia yang kini berjumlah 11.65 juta daripada 27 juta penduduk di negara ini, kurang diberi perhatian serta tidak mempunyai ruangan khas seperti sukan.

Bercakap kepada Bernama sebelum mula bercuti pada Selasa ini menjelang persaraannya pada 20 Ogos nanti, Mohd Yasin mengakui belia dan sukan sebenarnya tidak dapat dipisahkan kerana hampir kesemua atlet adalah belia.

Dalam Rancangan Malaysia Kesembilan, 60 peratus atau RM280 juta daripada peruntukan KBS berjumlah RM510 juta disalurkan untuk kegiatan belia dan selebihnya untuk sukan.

"Jumlah tersebut membuktikan dakwaan bahawa KBS memberi lebih tumpuan kepada sukan sahaja tidak benar. KBS sebenarnya cuba untuk mengimbangkan bajet bagi belia dan sukan," katanya.

Mengenai penubuhan Unit Industri Sukan dalam usaha menjadikan sukan sebagai satu industri yang mampu menyumbang kepada pendapatan negara, Mohd Yasin yang mengetuai unit itu sejak ditubuhkan secara rasmi selepas Konvensyen Industri Sukan pada September tahun lepas, berkata terdapat tiga komponen dalam industri sukan iaitu kemudahan, perkhidmatan dan barangan.

Bagaimanapun, katanya, kerja pengumpulan data agak perlahan kerana tidak mempunyai kakitangan yang mencukupi serta kerumitan memisahkan data yang diperoleh.

Misalnya dalam pengeluaran kemeja-T, beliau berkata, unit itu sukar membezakan antara baju yang digunakan untuk sukan seperti jersi dan baju yang dipakai sebagai kemeja kasual.

Perbezaan ini, katanya, menyulit unit itu untuk memperoleh data yang tepat mengenai pengeluaran kemeja sukan yang sebenar.

Mohd Yasin berkata data yang tepat diperlukan bagi mengukur sumbangan sektor industri sukan kepada angka Keluaran Dalam Negara Kasar.

Beliau juga berkata 1.2 bilion penonton di seluruh dunia menyaksikan perlawanan akhir Piala Thomas 2010 yang berlangsung di Stadium Putra di Bukit Jalil di sini pada Mei lepas tetapi persoalannya ialah bagaimana untuk menilai jumlah penonton itu dalam bentuk wang ringgit.

Namun, menurut Mohd Yasin, ada juga penganjur yang mampu menterjemahkan kejayaan penganjuran sesuatu acara sukan dalam bentuk ringgit dan sen.

Sebagai contoh, katanya, kejohanan kapal layar Piala Monsun yang diadakan di Kuala Terengganu sejak beberapa tahun lepas disiarkan secara langsung atau tertangguh kepada 500 juta rumah di seluruh dunia, dan pada 2008, hasil kasar daripada siaran media kepada penonton tempatan dianggarkan bernilai RM155,689,500 dan jumlah ini dijangka meningkat setiap tahun.

Mohd Yasin berkata beliau yakin unit itu dapat menangani segala kerumitan seperti itu dan menyediakan data lengkap jumlah pendapatan daripada sektor sukan kepada KDNK menjelang hujung tahun ini.

Mengenai rancangan beliau selepas persaraannya, Mohd Yasin berkata beliau kini hanya mahu berehat selepas berkhidmat selama 33 tahun 10 bulan dalam sektor awam. Beliau dan isteri Datin Azizah Othman dikurniakan lima anak berumur antara 18 dan 26 tahun.

Mohd Yasin memulakan kerjaya sebagai Penolong Setiausaha di Kementerian Pertanian pada 1977 dan dilantik Ketua Setiausaha KBS pada 26 Okt 2006. - BERNAMA

Artikel Lain