suria

Nicol Jumpa Waters Pada Aksi Separuh Akhir

PETALING JAYA: Datuk Nicol Ann David sudah menghampiri impian untuk mempertahankan kejuaraan buat kali keenam berturut-turut apabila melangkah ke separuh akhir Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia CIMB di sini.

Pada saingan suku akhir di The Curve di sini malam tadi, Nicol hanya mengambil masa 29 minit untuk melengkapkan perlawanan menentang pemain Perancis Camille Serme dengan keputusan 11-4, 11-4 dan 11-9.

Pemain nombor satu dunia itu akan berdepan dengan pemain England, Alison Waters, pada pertemuan separuh akhir hari ini.

"Beberapa kali saya telah bertemu dengan Waters sebelum ini dan esok (hari ini) saya perlu meningkatkan prestasi kerana dia akan melakukan usaha yang terbaik dalam memberi saingan," kata Nicol mengenai pertemuan dengan Waters.

Sebelum itu, Waters mengambil masa selama 36 minit untuk menjinakkan pemain pilihan kelima, Omneya Abdel Kawy dari Mesir, dengan keputusan 11-5, 11-3, 3-11 dan 11-4.

Sementara itu, dalam cara lelaki, juara kebangsaan Mohd Azlan Iskandar layak ke separuh akhir apabila menewaskan pemain pilihan keenam, Aamir Atlas Khan dari Pakistan, 11-7, 11-8 dan 11-2 dalam masa 41 minit.

Beliau akan menentang seorang lagi pemain Pakistan, Farhan Mehboob, pada perlawanan separuh akhir hari ini.

Satu lagi perlawanan separuh akhir akan menyaksikan pertembungan antara dua pemain Mesir iaitu Mohamed El Shorbagy dan Tarek Momen.

Mohamed, selaku pilihan utama, menewaskan pemain negara Ong Beng Hee 7-11, 11-8, 11-9 dan 12-10 manakala Tarek menumpaskan pemain Australia Stewart 7-11, 10-12, 11-8, 11-3 dan 11-5.

JADUAL SEPARUH AKHIR HARI INI LELAKI:

[4] Mohd Azlan Iskandar (MAS) mln Farhan Mehbob (PAK) 3.30 petang

[1] Mohamed El Shorbagy (MESIR) mln Tarek Momen (MESIR) 4.30 petang

WANITA: Raneem El Weleily (MESIR) mln [2] Jenny Duncalf (ENG) 5.30 petang

[1] Nicol Ann David (MAS) mln Alison Waters (ENG) 6.30 petang - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain