suria

Wilson Pemain Kedua Tiba Di Anfield

DANNY Wilson menandatangani kontrak selama tiga tahun bersama Liverpool sekali gus menyempurnakan perpindahannya bernilai 2 juta pound (RM9.78 juta) dari Rangers.

Pemain berusia 18 tahun itu memainkan peranan penting dalam membantu Rangers menjuarai Liga Perdana Scotland untuk kali kedua berturut-turut musim lalu.

Dia menjadi pemain kedua yang dibawa masuk ke Anfield dalam tempoh 24 jam selepas Joe Cole lulus pemeriksaan kesihatan untuk menandatangani kontrak selama empat tahun bersama Liverpool.

"Saya berasa bangga kerana menyertai Liverpool. Ke mana saja anda pergi, semua orang mengenali Liverpool dan saya amat gembira berada di sini.

"Ia merupakan cabaran baru buat saya. Liga Perdana Inggeris adalah liga terbaik di dunia dan saya akan beraksi untuk sebuah kelab terbesar di dunia," kata Wilson dalam laman web Liverpool.

Menurutnya, dia tidak mengambil masa terlalu lama untuk membuat keputusan menyertai The Reds dan tidak sabar beraksi pada kempen baru yang akan membuka tirainya bulan depan.

"Ada beberapa kelab yang berminat untuk mendapatkan khidmat saya tetapi sebaik saja Liverpool mengemukakan tawaran saya terus bersetuju menyertai kelab ini," ujarnya.

Artikel Lain