suria

Walkaton Amal Dataran Merdeka Sasar Kumpul RM80,000

KUALA LUMPUR: Islamic Outreach ABIM (IOA) menyasarkan untuk mengumpul dana sekurang-kurangnya RM80,000 melalui walkathon amal di Dataran Merdeka pada 25 Julai ini, bagi menjalankan aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan anjurannya.

Pengerusi IOA Azril Mohd Amin berkata program itu terbuka kepada semua dan orang ramai, khususnya warga Kuala Lumpur dan Selangor, dijemput menyertai acara tersebut untuk beriadah sambil menderma.

Program "Walk for Charity" itu dijadual dirasmikan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, katanya dalam satu kenyataan, Khamis.

Penaja utama walkathon itu termasuk Kumpulan NAZA, Maybank Islamic, Bank Simpanan Nasional, SME Bank, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim), Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Bank Pembangunan dan Perodua.

Azril berkata dana itu akan digunakan bagi menggerakkan aktiviti IOA iaitu Program Pembangunan Saudara Islam, Program Pemandu Pelancong Masjid, Program Tajaan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin, Program Islamicare untuk Orang Kelainan Upaya (OKU), Program Pembangunan Sosio-Ekonomi Orang Asli serta Program Lawatan Hospital.

Untuk keterangan lanjut dan pendaftaran, orang ramai boleh menghubungi Azlan di talian 016-4563214 atau Rugayah (019-257 2923), atau 03-42569822. - BERNAMA

Artikel Lain