suria

Nicol, Wee Wern Mara Ke Peringkat Suku Akhir Skuasy Terbuka Malaysia

KUALA LUMPUR: Pemain nombor satu dunia Datuk Nicol Ann David meneruskan misi memburu gelaran juara Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia CIMB buat kali keenam di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil di sini, Rabu dengan menewaskan pemain bukan pilihan Joelle King dari New Zealand.

Pemain berumur 26 tahun dari Pulau Pinang itu mengambil masa hanya 31 minit untuk menewaskan lawannya dengan 11-7, 11-5 dan 11-4 bagi membolehkan beliau mara ke peringkat suku akhir.

"Di awal perlawanan saya tidak dapat pastikan corak permainan Joelle, mulanya saya hanya lihat bagaimana cara permainannya," kata Nicol, dan menambah bahawa dia akan berusaha meningkatkan tahap permainannya di perlawanan berikutnya.

Lawan Nicol di peringkat suku akhir nanti ialah pemain bukan pilihan dari Perancis Camille Serme yang mengalahkan pemain pilihan ke tujuh kejohanan, Madeline Perry dari Ireland 11-2, 11-6 5-11 dan 11-5 dalam masa 44 minit.

Terdahulu dalam perlawanan yang melibatkan pemain Malaysia, pemain yang baru dinobatkan sebagai naib juara Kejohanan skuasy kebangsaan minggu lepas Low Wee Wern membuat kejuatan apabila menewaskan pemain pilihan keenam, Natalie Grainger dari Amerika. Wee Wern bermain dalam lima set sebelum dapat menundukkan Grainger pada perlawanan pusingan pertama hari ini dengan 9-11, 11-8, 7-11, 14-12 dan 11-7 dalam masa 52 minit.

"Ini adalah pertemuan saya yang pertama dengan Natalie. Saya tahu ia adalah pertembungan yang sengit. Ketika kami terikat 2-2, saya berusaha keras untuk mendapatkan mata penentuan. Ia amat sukar kerana Natalie adalah seorang pemain yang berpengalaman," kata Wee Wern.

Dalam perlawanan suku akhir esok, Wee Wern akan bertemu dengan pemain pilihan kedua kejohanan Jenny Duncalf dari England.

"Saya pernah bertemu dengan Jenny di Terbuka Hong Kong tahun lalu, namun kalah 3-0 ditangannya. Esok akan menjadi kali pertama saya berhadapan dengannya di gelanggang kaca Terbuka Malaysia. Pertemuan dengan Jenny akan menjadi suatu pengalaman yang baik bagi saya," kata Wee Wern, yang memasuki persaingan atas tiket wild card.

Duncalf menempah tiket ke perlawanan suku akhir selepas menewaskan pemain dari New Zealand Jaclyn Hawkes dengan straight set 11-6, 11-3 dan 11-6 dalam masa 30 minit. - BERNAMA

Artikel Lain