suria

Kerja-kerja Pembinaan Velodrom Malaysia Bertaraf Dunia Bermula Tidak Lama Lagi

MELBOURNE: Kerja-kerja pembinaan sebuah velodrom tertutup bertaraf dunia di Nilai, Negeri Sembilan, akan bermula tidak lama lagi, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata kerajaan ingin meletakkan Malaysia pada peta sukan berbasikal dunia dengan menganjurkan kejohanan antarabangsa.

"Apabila velodrom itu siap dalam tempoh kira-kira 12 bulan, kami akan membida untuk menganjurkan Kejohanan Berbasikal Asia dan kejohanan antarabangsa lain," kata Ahmad Shabery.

Beliau berkata demikian selepas meninjau Pusat Sukan Antarabangsa Darebin berharga A$16 juta (RM44.8 juta), yang menempatkan Pusat Boling Victoria, Velodrom Berbasikal Tertutup dan Pusat Bola Sepak Negeri di sini Selasa.

Velodrom itu, sebuah daripada beberapa kemudahan seumpamanya di Victoria dan yang kedua di Melbourne, mempunyai trek basikal tertutup 250m yang dapat menempatkan lebih 500 orang dan ruang berdiri bagi 400 penonton.

Ahmad Shabery, yang diiringi Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara Datuk Zolkples Embong dan 10 anggota kontinjen pelumba basikal Malaysia yang berlatih di sini, berkata Malaysia, kini berada di ranking ketiga di Asia selepas Jepun dan Korea, berhasrat untuk menduduki tempat teratas.

"Beberapa pelumba basikal kami yang kini berlatih di Melbourne bekerja keras untuk mencapai ranking dunia. Mereka sangat berdedikasi dan komited.

"Kami telah mendapatkan khidmat jurulatih berbasikal yang terbaik dari Australia, John Beasley dan beliau bekerja sepenuh masa dengan pelumba basikal kami," katanya.

Beliau berkata kompleks sukan di Nilai akan dibangunkan secara usaha sama dengan Sime Darby.

Ia juga akan menjadi pusat sehenti bagi beberapa akademi termasuk badminton dan berbasikal. Sektor swasta akan mengendalikan golf dan tenis.

Ahmad Shabery turut melawat lokasi penginapan pelumba basikal Malaysia di bekas Kampung Sukan Komanwel di pinggir bandar Parkville.

"Anda mempunyai tempat tinggal yang sangat baik di sini," katanya kepada pelumba basikal negara. "Saya harap saya pun dapat tinggal di rumah seperti ini masa saya belajar dulu," katanya.

Ia membabitkan kos A$25,000 (RM70,000) sebulan untuk perbelanjaan makanan dan tempat tinggal 10 pelumba basikal negara. - BERNAMA

Artikel Lain