suria

Kejohanan Ragbi 10 Sebelah Iskandar Malaysia 31 Julai Hingga 1 Ogos

JOHOR BAHARU: Kejohanan Cabaran Ragbi 10 Sebelah Iskandar Malaysia 2010 (IMRC 2010) yang dijadual berlangsung di bandar raya ini, hujung bulan ini bakal menyaksikan 72 pasukan mengambil bahagian.

Pengerusi Kesatuan Ragbi Johor (JRU) Mohd Noorazam Osman berkata kejohanan dari 31 Julai hingga 1 Ogos di Dataran Bandaraya Johor Baharu itu turut melibatkan tiga pasukan dari Singapura.

"Kejohanan ini pada edisi asalnya dikenali sebagai Kejohanan Ragbi Tujuh Sebelah Tunku Mahkota Johor," katanya kepada pemberita, di sini, Selasa.

Beliau berkata penganjuran yang melibatkan kira-kira 1,000 pemain ragbi kali ini merupakan edisi ketiga.

Mohd Noorazam berkata kejohanan dibahagikan kepada dua kategori iaitu bawah 18 tahun yang bakal disertai 48 pasukan manakala bawah 15 tahun bakal disertai 24 pasukan. Beliau berkata kesemua pasukan kedua-dua kategori itu akan bermain mengikut sistem liga dengan empat kejuaraan iaitu Cup, Plate, Bowl dan Spoon.

"Juara Cup akan menerima jersi pasukan, piala dan pingat. Pihak penganjur, bagaimanapun, sedang mempertimbangkan ganjaran hadiah wang tunai. Juara Plate, Bowl dan Spoon pula akan menerima piala dan pingat," katanya.

Kejohanan berkenaan, katanya diharap dapat mencungkil bakat baru dalam arena sukan ragbi untuk diketengahkan ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain