suria

Gimnas Malaysia Mampu Lebih Menyerlah Pada ASG Akan Datang

KUALA LUMPUR: Gimnas Malaysia berpeluang memenangi lebih banyak pingat pada Sukan Sekolah-Sekolah Asean (ASG) akan datang di Singapura jika mereka diberikan pendedahan antarabangsa.

Dalam kejohanan ASG 2010 yang baru berakhir di sini, Malaysia meraih lima pingat emas, enam pingat perak dan tiga pingat gangsa di belakang Thailand yang memperoleh enam pingat emas, tiga pingat perak dan lima pingat gangsa dalam pertandingan artistik.

Kesemua lima pingat emas diperoleh oleh pasukan wanita.

Sekiranya diberikan latihan yang betul dan masa yang mencukupi, pasukan itu mampu mempamerkan prestasi lebih baik di Singapura nanti, kata pengurus pasukan Zainah Hassan kepada Bernama.

Jurulatih Pavel Tododrov berkata kekurangan kemudahan dan penyertaan dalam pertandingan telah menjadi kekangan kepada gimnas Malaysia untuk cemerlang di pentas antarabangsa.

Beliau berkata aparatus sedia ada di Kompleks Sukan Bukit Jalil kurang sesuai untuk latihan.

"Ia perlu dilengkapi set aparatus berbeza bagi latihan dan pertandingan. Tetapi kami masih bergantung pada aparatus yang sama, sama ada untuk latihan atau pertandingan," katanya.

Jurulatih dari Bulgaria itu yang telah menjadi jurulatih di sini sejak dua tahun lepas, berkata kebanyakan atlet muda berasa gementar pada ASG kerana pertama kali menyertai kejohanan antarabangsa. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain