suria

Nicol Akhiri Penantian 13 Tahun

Nicol memeluk Wee Wern selepas tamat aksi final pada Sabtu. Foto THE STAR S.S KANESAN
Nicol memeluk Wee Wern selepas tamat aksi final pada Sabtu. Foto THE STAR S.S KANESAN
Nicol memeluk Wee Wern selepas tamat aksi final pada Sabtu. Foto THE STAR S.S KANESAN

KUALA LUMPUR: Tiada tandingan. Itu ungkapan yang dapat menggambarkan kehebatan ratu skuasy negara, Datuk Nicol Ann David selepas merangkul trofi pertamanya dalam kejohanan skuasy Tertutup Kebangsaan 2010 yang melabuhkan tirainya pada Sabtu.

Pusat Skuasy Negara di Bukit Jalil menjadi saksi kejayaan Nicol yang menundukkan Low Wee Wern 11-6, 11-7, 11-8 dalam masa 34 minit pada aksi final kategori Wanita Perdana.

Pemain nombor satu dunia itu amat berpuas hati dengan persembahan beliau sebentar tadi dan kemenangan itu sedikit sebanyak meniup semangatnya untuk mempertahankan kejuaraan dalam kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia untuk kali keenam bermula 19 hingga 24 Julai ini.

"Saya berasa amat gembira apabila muncul juara. Kejohanan ini berlangsung dengan baik kerana disertai semua pemain kebangsaan dan pemain remaja dalam tempoh 13 tahun," kata Nicol ketika ditemui selepas tamat kejohanan itu pada Sabtu di sini.

Begitupun, Nicol memuji corak permainan Wee Wern yang semakin menunjukkan peningkatan dari semasa ke semasa sehingga berjaya melangkah ke pusingan final.

"Tidak dinafikan, anda boleh melihat dia sentiasa meningkat dari segi ranking. Pada usia 19 tahun, dia mempunyai banyak ruang dan potensi untuk memperbaiki rentak permainannya dalam setiap kejohanan. Pertemuan dengannya begitu menakjubkan," ujarnya.

Kemunculan semula Nicol dalam kejohanan ini selepas tewas kepada Sharon Wee ketika beliau berusia 13 tahun pada 1997 nyata membuahkan hasil. Beliau berjaya membawa pulang hadiah berupa wang tunai bernilai Rm4,000 beserta trofi manakala Wee Wern selaku naib juara memperoleh RM2,000.

Bagi Wee Wern, persembahan ketika menentang Nicol antara pencapaian terbaik sepanjang kariernya. Menyedari pertemuan dengan Nicol bukanlan mudah, dia sentiasa menjalani latihan bersungguh-sungguh sebelum perlawanan final itu.

"Ia antara persembahan terbaik saya. Bukan mudah untuk bertemu Nicol tetapi saya berpuas hati dengan corak permainan saya sebentar tadi. Kekalahan ini memberi peluang kepada saya untuk memperbaiki kelemahan," ujarnya.

Sementara itu, pemain pilihan pertama kejohanan, Mohd Azlan Iskandar memenangi kategori Lelaki Perdana selepas lawannya, Ong Beng Hee menarik diri akibat kecederaan belakang.

"Saya menjangka perlawanan akan menjadi sengit tetapi Beng Hee mengambil keputusan untuk menarik diri sebagai langkah berjaga-jaga sebelum Terbuka Malaysia minggu depan. Sepatutnya perlawanan ini menjadi persediaan baik untuk saya tetapi sebaliknya berlaku. Jadi saya terpaksa menjalani latihan fizikal pada Ahad," jelas Azlan.

Pemain kelahiran Sarawak itu hanya mengambil masa selama 20 minit untuk memenangi set pertama dengan keputusan 11-5.

Azlan menyifatkan kecederaan yang dialami Beng Hee tidak begitu serius dan mendoakan agar dia cepat sembuh.

"Jika dia meneruskan juga perlawanan itu, saya rasa kecederaannya mungkin jadi lebih teruk pada Terbuka Malaysia minggu depan. Sebagai pemain profesional jika saya mengalami situasi sama sepertinya, saya pun akan menarik diri," tambahnya.

Beng Hee yang menduduki tempat kedua mahu berehat dan memulihkan kecederaannya sebelum aksi kemuncak Terbuka Malaysia di pusat membeli-belah The Curve, Damansara minggu depan.

"Sudah tentu saya kecewa. Hari ini nasib tidak menyebelahi saya. Mungkin lebih baik ia berlaku sekarang daripada di Terbuka Malaysia. Masalah regangan itu mungkin disebabkan kerana saya berlatih bersungguh-sungguh. Jadi saya akan berehat dalam tempoh beberapa hari sebelum beraksi minggu depan," jelasnya.

Dalam perlawanan penentuan tempat ketiga, Ivan Yuen menundukkan pemain pilihan ketiga, Mohd Nafiizwan Adnan dalam perlawanan sengit lima set yang berlangsung selama sejam dan 10 minit.

Perlawanan itu berakhir dengan keputusan 10-12, 11-9, 6-11, 11-6 dan 11-8.

Keputusan:

(LELAKI)

Mohd Azlan Iskandar mn Beng Hee 11-5 (20 minit) (Beng Hee menarik diri akibat kecederaan);

Ivan Yuen mn Mohd Nafiizwan Adnan 10-12, 11-9, 6-11, 11-6, 11-8 (70 minit).

(WANITA)

Nicol David mn Low Wee Wern 11-6, 11-7, 11-8 (34 minit);

Siti Munirah Jusoh mn Sharon Wee 11-7, 5-11, 11-7, 11-8 (45 minit).

Artikel Lain