suria

Atlet Lawan Pedang Paralimpik Tempah Tiket Ke Guangzhou

KUALA LUMPUR: Atlet lawan pedang acara Epee, Abdul Rahman Razali, berjaya melepasi syarat kelayakan untuk beraksi pada Sukan Para Asia di Guangzhou, China, dari 12 hingga 19 Disember ini.

Pegawai cawangan Paralimpik di Majlis Sukan Negara (MSN), Hassan Basri Che Harun, berkata Abdul Rahman menduduki ranking ke-23 daripada 36 peserta pada Kejohanan Piala Dunia (Lawan Pedang) Persekutuan Berkerusi Roda dan Kudung Antarabangsa (IWAS) di Warsaw, Poland, yang berakhir Ahad lalu.

"Bagi ranking dan kuota Asia, walaupun belum dikeluarkan, kami percaya Abdul Rahman telah melepasi syarat kelayakan ke Guangzhou," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini, Jumaat.

Abdul Rahman merupakan pemenang pingat emas pada Sukan Para Asean 2007 di Korat, Thailand.

Selain Abdul Rahman, pasukan Malaysia ke Warsaw turut disertai Mohd Zamrin Kassim dan Mohd Fauzizaldi Jusoh, kedua-duanya bertanding dalam acara Sabree.

Selepas memenangi dua perlawanan awal, Abdul Rahman tewas 6-15 kepada peserta Belarus dalam perlawanan ketiga sementara dua lagi rakannya tewas kepada lawan masing-masing di pusingan awal.

Hassan Basri berkata terdapat satu lagi kejohanan kelayakan iaitu Kejohanan Dunia di Paris, Peranchis, pada 10 hingga 13 November ini tetapi tarikh tersebut terlalu hampir dengan temasya Para Asia di Guangzhou.

Beliau berkata pendedahan di Guangzhou amat penting bagi membolehkan atlet lawan pedang untuk bersaing di temasya sukan Paralimpik terbesar di dunia, Sukan Paralimpik London pada 2012. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain