suria

Skuad Lelaki Dan Wanita Mara Ke Perlawanan Akhir

KUALA LUMPUR: Skuad lelaki dan wanita Malaysia melangkah ke perlawanan akhir acara badminton selepas menumpaskan lawan masing-masing pada Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Asean (AGS) 2010 yang berlangsung di Stadium Badminton Kuala Lumpur di sini pada Khamis.

Skuad perseorangan lelaki negara yang dibarisi oleh Goh Giap Chin, Soo Teck Zhi dan Tan Kian Meng dengan mudah menumpaskan Filipina 3-0 yang dibarisi Magnaye Peter Gabriel, Escueta Philip Jofer dan Cudiamat Kevin Micha.

Skuad wanita Malaysia yang dianggotai oleh Sonia Cheah, Yang Li Lian, Lim Chiew Sien dan Lee Meng Yean menewaskan Singapura 3-1 yang dibarisi Liang Xiaoyu, Natthaporn Triyachart dan Citra Putri Sari, Valerie Lim Wei Qi dan Charmain Cheang Yen Ping.

Sementara itu, pasukan Thailand diberi tentangan sengit berdepan pasukan Indonesia dalam saringan separuh akhir sebelum berjaya menjinakkan Indonesia 3-2.

Dalam acara wanita regu dan perseorangan Indonesia, mereka membalas dendam terhadap kekalahan pasukan lelaki dengan menewaskan Thailand 3-1.

Kelmarin, skuad lelaki negara menumpaskan Singapura 4-1 manakala skuad wanita negara membelasah Filipina 5-0 di peringkat awal pusingan sebelum berjaya melayakkan diri ke separuh akhir.

Temasya kali kedua ini membabitkan tujuh pasukan di mana empat pasukan teratas selepas pusingan awal terpilih dan seterusnya dua pasukan akan bertarung untuk merebut pingat emas.

Sebanyak 106 pingat emas dalam 11 acara dan 1,302 atlet dan pegawai dari tujuh negara Asean iaitu Brunei, Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand, Vietnam dan Malaysia bertanding pada kejohanan 10 hari. - BERNAMA

Artikel Lain