suria

Semua Pemain Pilihan Mara Ke Separuh Akhir

KUALA LUMPUR: Pemain nombor satu dunia, Datuk Nicol Ann David, Mohd Azlan Iskandar dan Ong Beng Hee berjaya melangkah ke separuh akhir kejohanan Skuasy Tertutup Kebangsaan 2010 di sini.

Pada perlawanan suku akhir pada Khamis, Nicol, pilihan utama acara wanita, dengan mudah mengatasi pilihan kelapan Tan Yan Xin 11-6, 12-10, 11-4, untuk menghampiri matlamat merangkul kejuaraan itu buat julung kali.

"Buat pertama kali saya akan menentang Siti Munirah hari ini dan saya pasti dia akan memberi saingan terbaik," kata Nicol.

Sementara itu, Munirah, 23, yang menewaskan Pushppa Devi 11-8, 11-6, 11-7 pada suku akhir, berkata beliau menanti pertemuan dengan Nicol dengan penuh harapan pada separuh akhir.

"Menjadi impian saya untuk menentang Nicol dan masa yang ditunggu-tunggu selama ini sudah tiba. Harap, saya boleh mempelajari sesuatu daripadanya dan mengumpul mata yang sebanyak mungkin," katanya, yang memenangi pingat perak pada Sukan Malaysia (SUKMA) di Melaka bulan lepas.

Dalam satu lagi perlawanan separuh akhir esok, pilihan ketiga dan juara bertahan Sharon Wee akan berdepan dengan pilihan kedua Low Wee Wern.

Sharon menempah tempat ke separuh akhir dengan menewaskan Zulhijjah Azan 11-8, 11-6, 11-7 manakala Wee Wern mengatasi pemenang emas berganda SUKMA, Nessrine Arrifin 11-3, 11-5, 11-4.

Dalam acara lelaki, pilihan utama Mohd Azlan melangkah ke separuh akhir dengan mudah apabila menundukkan Ng Jo Wan, 11-2, 11-2, 11-2.

"Ia adalah perlawanan pemanas badan yang baik menjelang Terbuka Malaysia minggu depan," katanya yang akan menentang Ivan Yuen hari ini.

Yuen terpaksa bekerja keras pada perlawanan menentang Mohd Asyraf Azan sebelum menang 3-11, 11-8, 11-13, 11-7, 12-10.

Dalam satu lagi perlawanan separuh akhir, Ong Beng Hee, yang mengalahkan Choong Kam Hing 11-3, 11-8, 11-8, akan menentang Mohd Nafiizwan Mohd Adnan.

Mohd Nafiizwan mengatasi Kamran Khan 4-11, 11-8, 13-11, 11-6 untuk mara ke separuh akhir. - BERNAMA

Artikel Lain