suria

Nicol Temui Wee Wern Di Final

KUALA LUMPUR: Ratu skuasy negara dan pemain nombor satu dunia, Datuk Nicol Ann David mengenepikan cabaran Siti Munirah Jusoh untuk berdepan dengan Low Wee Wern pada perlawanan akhir Kejohanan Tertutup Kebangsaan di sini pada Sabtu.

Pada saingan separuh akhir di gelanggang kaca Arena Nicol David di Pusat Skuasy Negara, Bukit Jalil pada Jumaat, Nicol, selaku pilihan utama, hanya mengambil masa 25 minit untuk menewaskan Siti Munirah 11-7, 11-8, 11-3.

"Perlawanan akhir esok (Sabtu) adalah menarik. Menentang pemain berpengalaman dalam kejohanan profesional boleh memberi saingan yang dijangkakan," kata Nicol.

Dalam pada itu, Wee Wern mengambil masa 40 minit sebelum mengatasi pemain pilihan ketiga dan bekas juara kebangsaan, Sharon Wee, 7-11, 11-3, 11-9, 11-5 pada satu lagi perlawanan separuh akhir.

"Tidak ada sebarang jangkaan bagi diri saya apabila menentang Nicol. Saya hanya mahu menampilkan persembahan terbaik dan melihat hasilnya. Sudah pasti ia merupakan perlawanan sengit kerana Nicol berada dalam keadaan terbaik sekali," kata ee Wern.

Wee Wern, yang berusia 20 tahun pada 25 Julai ini, menduduki ranking ke-26 dalam senarai terbaru Persatuan Pemain Skuasy Profesional Wanita Dunia (WISPA).

Dalam acara lelaki, pilihan kedua Ong Beng Hee terpaksa bekerja keras selama 63 minit untuk menempah tiket ke final apabila menewaskan Mohd Nafiizwan Adnan 11-8, 11-9, 7-11, 11-6.

"Saya tidak menjangka menerima saingan sengit daripada Nafiizwan. Sejak 18 bulan lalu, prestasi dia banyak meningkat. Saya rasa pengalaman saya membantu saya hari ini (Jumaat)," katanya.

Beng Hee akan menentang pilihan utama Mohd Azlan Iskandar pada final Sabtu.

Sebelum itu, Mohd Azlan menewaskan Ivan Yuen 9-11, 11-4, 11-6, 11-3 pada satu lagi perlawanan separuh akhir.

"Menjadi impian saya untuk menjuarai gelaran ini dan jika gagal, saya harap untuk memberi persembahan terbaik saya," kata Beng Hee. KEPUTUSAN: SEPARUH AKHIR ------------------------

LELAKI: Ong Beng Hee mn Mohd Nafiizwan Adnan 11-8, 11-9, 7-11, 11-6. Mohd Azlan Iskandar mn Ivan Yuen 9-11, 11-4, 11-6, 11-3. WANITA: Low Wee Wern MN Sharon Wee 7-11, 11-3, 11-9, 11-5. Nicol David MN Siti Munirah Jusoh 11-7, 11-8, 11-3. - BERNAMA

Artikel Lain