suria

Malaysia Raih Perak Gimnastik Artistik Wanita

KUALA LUMPUR: Malaysia meraih pingat perak apabila kalah tipis kepada Thailand, dalam acara gimnastik artistik berpasukan wanita pada Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Asean (ASG) di Stadium Terbuka Kompleks Sukan Bukit Jalil di sini pada Khamis.

Pasukan Malaysia mengumpul 197.55 mata, 0.25 mata di belakang Thailand yang meraih pingat emas acara itu manakala di tempat ketiga pula dimenangi pasukan Singapura yang mengumpul 183.15 mata.

Pengurus pasukan Zainah Hassan berkata perasaan gementar dan tertekan mungkin telah menyebabkan anak buahnya tidak dapat mempamerkan aksi terbaik mereka dalam acara masing-masing.

"Mereka mungkin berasa tertekan... sukan gimnastik merupakan sukan bersifat subjektif... Apapun tidak banyak bezanya antara negara kita dengan Thailand," katanya kepada Bernama selepas pertandingan itu.

Pasukan negara yang terdiri daripada Nur Hasleen Fatihin Hasnan, Nur Eli Ellina Azmi, Tracie Ang, Tan Ing Yueh dan Nur Azian Indahani Abdullah telah menyertai kesemua empat acara gimnastik iaitu acara melombol, batang titian, palang bertingkat dan senam lantai.

Zainah berkata Tang telah mengalami kecederaan semasa acara senam lantai dan keadaan tersebut menyebabkan Tang tidak dapat beraksi dengan baik dalam acara seterusnya iaitu melombol.

Sementara itu Ellina Azmi, 15, berkata beliau berasa sangat gembira kerana dapat menunjukkan persembahan yang baik dalam acara batang titian.

"Kini azam saya ialah untuk bertanding di Sukan Sea. Saya akan cuba untuk meningkatkan lagi prestasi saya," katanya.

Artikel Lain