suria

Malaysia Kuasai Acara Berpasukan, Raih Dua Emas

KUALA LUMPUR: Malaysia meraih dua emas apabila menjuarai acara berpasukan lelaki dan wanita pada perlawanan akhir acara badminton Sukan Sekolah-Sekolah Asean (ASG) di Stadium Badminton Cheras di sini pada Jumaat.

Jurulatih pasukan negara Mohd Najib Latif berkata kejayaan pasukan lelaki negara tidak dijangka memandangkan Thailand menurunkan pemain handalan mereka iaitu perseorangan Boonyakorn Thumphaniwang dan beregu Samatcha Tovannakasem/Kritti Cholprasertsuk yang pernah beraksi dalam Kejohanan Remaja Dunia tahun lalu.

"Alhamdulillah kita berjaya. Menang 3-0 pula ke atas Thailand hari ini. Ini memang di luar jangkaan sebab kita dah anggap Thailand satu pasukan yang bagus," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata pemain Malaysia telah dinasihatkan supaya tidak terlalu yakin sebelum turun ke gelanggang.

"Walaupun perlawanan sengit dan pemain kita terpaksa bekerja keras sebelum menundukkan lawan, tapi akhirnya tuah menyebelahi kita," katanya.

Meskipun kecundang pada set pertama, perseorangan lelaki pertama negara Soo Teck Zhi bangkit pada set kedua dan mengheret lawannya Boonyakorn Thumphaniwang dari Thailand ke set penentuan.

Teck Zhi menang 17-21, 21-18 dan 21-16.

Beregu negara Teo Ee Yi/Nelson Heng juga terpaksi beraksi dalam 'rubber game' sebelum dapat menundukkan pasangan Thailand Siwadol Sookpradit/Nitiwat Wongracha 18-21, 22-20, 21-13.

Bagaimanapun perseorangan kedua Malaysia Goh Giap Chin berjaya menamatkan cabaran negara dengan pungutan emas, setelah menewaskan Aekkorn Pungchay 21-18, 21-16. Thailand membawa pulang pingat perak manakala Indonesia dan Singapura meraih gangsa.

Sementara itu dalam acara wanita, perseorangan negara Sonia Cheah mudah mengalahkan Melvira Oklamona dari Indonesia 21-14, 21-10.

Kejayaan Cheah nyata memberi inspirasi kepada rakan-rakan sepasukannya apabila perseorangan kedua dan ketiga negara Lim Chiew Sien dan Yang Li Lian juga berjaya menundukkan lawan masing-masing.

Lim mengalahkan Hanna Ramadhini 21-15, 17-21, 21-18 dan Yang menewaskan Anggia Shita 21-16, 21-19.

Malaysia merangkul emas, Indonesia perak, manakala Thailand dan Singapura berkongsi pingat gangsa. - BERNAMA

Artikel Lain