suria

Malaysia Gagal Tandingi Thailand

KUALA LUMPUR: Malaysia masih belum dapat mengatasi kehandalan Thailand dalam acara gimnastik selepas hanya meraih pingat perak dalam acara individu pada Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Asean (ASG) di sini, Jumaat.

Gimnas negara, Hamzaruddin Nordin hanya mampu mengumpul mata 74.550, berbanding mata keseluruhan juara dari Thailand, Nattawatt Phochat, 77.150.

Hamzaruddin, 17, berkata, beliau gagal untuk memberikan aksi terbaik kerana telah mengalami kecederaan di bahagian pergelangan tangan kanan semasa acara senam lantai sebelum ini.

Bagaimanapun, anak muda dari Sabah itu berkata beliau tetap mencuba untuk memberikan yang terbaik bagi pasukan Malaysia.

Sementara itu, pengurus pasukan Zainah Hassan berkata beliau berasa kecewa kerana pasukan negara gagal meraih emas seperti yang disasarkan.

"Pasukan Thailand sangat hebat dan atlet-atletnya memiliki tubuh badan yang tegap. Ini membolehkan mereka beraksi dengan mudah," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain