suria

Indonesia Yakin Jadi Juara Keseluruhan Sukan SEA 2011

KUALA LUMPUR: Indonesia mula melaungkan cabaran kepada negara peserta lain bahawa ia pasti muncul juara keseluruhan temasya Sukan SEA ke-26 yang akan diadakan di republik itu tahun depan.

Kali terakhir ia muncul juara sukan dwi-tahunan itu ialah 13 tahun lalu, pada 1997 di Jakarta. Indonesia juga muncul juara pada 1987 dan 1979, juga di Jakarta.

Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia, Dr Ardi Malaranggeng berkata selepas banyak kali terlepas menjadi juara keseluruhan Sukan SEA, Indonesia akan menganjurkan temasya tersebut pada 11 hingga 25 Nov tahun depan.

"Selepas 1997, ketika itu kemelesetan ekonomi menyebabkan banyak program atlet tergendala dan geraf pencapaian atlet Indonesia juga menurun. Tetapi kami kini semakin meningkat dan di Sukan SEA di Laos tahun lepas, kami berada di tangga ketiga, di belakang Vietnam dan Thailand," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Dr Ardi berada di sini bagi menyertai karnival sukan 'Titian Muhibbah' antara kementeriannya dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Malaysia di Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil.

Antara acara perlawanan persahabatan tersebut ialah badminton, tenis, bola jaring dan futsal.

Rombongan Dr Ardi ke negara ini seramai lima orang turut disertai pegawai dari kedutaan Indonesia di Malaysia manakala KBS diwakili menterinya Datuk Ahmad Shabery Cheek, dua timbalannya Datuk Razali Ibrahim, Gan Ping Sieu dan pegawai kementerian.

Dr Ardi berkata temasya Sukan SEA kali ini diadakan di empat wilayah iaitu Jakarta, Semarang, Bandung dan Palembang, dan segala infrastruktur baru yang dibina dijangka siap sekurang-kurang tiga bulan sebelum sukan itu berlangsung.

"Tujuan diadakan di empat wilayah tersebut bagi membolehkan atlet dan pengunjung turut melawat wilayah lain di Indonesia," katanya.

Jakarta dijangka menjadi tuan rumah bagi acara olahraga, berbasikal (trek), bola keranjang, futsal, silat, tenis, ping pong, badminton, lawan pedang, judo, pelayaran, kenpo dan bolasepak.

Bandung pula akan mempertandingkan akuatik, taekwondo, kenu, mendayung, perlumbaan bot tradisional, sukan tari, catur, bola tampar, karate, bola lisut, tenpin boling, ekuestrian dan berbasikal (lebuh raya dan basikal lasak).

Palembang akan menganjurkan acara bola sepak, gusti, gimnastik, wushu, powerlifting, angkat berat, aquatik, olahraga dan memanjat tembok tiruan.

Acara memanah, tinju, snuker/biliard, sepak takraw, menembak, kasut roda serta sukan lain yang melibatkan acara paralimpik akan diadakan di Semarang. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Silva Kini Milik City

Artikel Berikut

Artikel Lain