suria

'Rombakan Budaya' Perlu Jika Malaysia Ingin Ke Piala Dunia

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek, yang menyaksikan perlawanan akhir Piala Dunia di sebuah restoran di sini awal pagi semalam, mengakui bola sepak negara memerlukan satu "rombakan budaya" yang menyeluruh jika Malaysia berhasrat ke Piala Dunia nanti.

Beliau berkata rombakan budaya tersebut melibatkan program pembangunan, infrastruktur dan pembinaan latihan sejak kanak-kanak lagi serta pendekatan permainan strategik dan berdisplin.

"Hasil daripada rombakan budaya ini bagaimanapun akan hanya terserlah satu ke dua generasi akan datang," katanya kepada Bernama selepas menyaksikan perlawanan antara Sepanyol dan Belanda itu bersama Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara Datuk Zolkples Embong.

Ahmad Shabery berkata bahawa rombakan atau perubahan budaya seperti itulah yang telah membawa kejayaan kepada pasukan bola sepak dari Korea Selatan dan Jepun, dua pasukan Asia yang dahulunya setaraf dengan Malaysia.

Mengulas mengenai perlawanan antara Sepanyol dan Belanda, Ahmad Shabery berkata walaupun kedua-dua pasukan mempunyai ramai pemain bertaraf bintang, namun semangat berpasukan mereka amat tinggi.

"Pemain-pemain mereka juga mempunyai kemahiran dalam pengawalan dan penghantaran bola," katanya.

Sepanyol menewaskan Belanda 1-0 untuk menjadi juara Piala Dunia buat pertama kalinya.

Sambil melahirkan rasa kagum dengan sambutan masyarakat Malaysia terhadap Piala Dunia, Ahmad Shabery berkata: "Saya begitu teruja menonton bersama penyokong-penyokong bola sepak di kedai makan."

"Ia adalah suatu perkara yang cukup penting dalam menyatukan masyarakat, tanpa mengira kaum, bangsa dan agama.

"Pergi mana-mana sahaja orang bercakap mengenai bola, dan sanggup berjaga semata-mata mahu menonton pasukan pilihan mereka, walhal esoknya mereka perlu bekerja.

"Ini adalah perkara yang membahagiakan dan luar biasa yang dinanti-nantikan," kata Ahmad Shabery sebelum meninggalkan restoran itu selepas tamat perlawanan sekitar 5 pagi. - BERNAMA

Artikel Berikut

Azlan Temui Cinta Baru

Artikel Lain