Nicol Buru Gelaran Pertama Kejohanan Tertutup Skuasy Kebangsaan - Sukan | mStar

Nicol Buru Gelaran Pertama Kejohanan Tertutup Skuasy Kebangsaan

KUALA LUMPUR: Pemain skuasy nombor satu dunia Datuk Nicol Ann David bersiap sedia untuk memenangi kejohanan skuasy kebangsaan TC Malaysia buat kali pertama yang bermula hari ini di Pusat Skuasy Negara di Bukit Jalil.

Kejohanan lima hari itu akan menyaksikan pemain skuasy terbaik negara bersaing dalam lima kategori Lelaki Perdana, Wanita Perdana, Lelaki dan Wanita divisyen tiga dan veteran lelaki (atas 45 tahun).

Walaupun mendahului ranking skuasy wanita dunia, Nicol, 26, yang masih belum meraih gelaran dalam kejohanan kebangsaan, membuat kemunculan semula selepas terhenti selama 13 tahun.

Kali terakhir kejohanan itu diadakan di kompleks skuasy Majlis Sukan Negara di Jalan Duta pada Mac 1997, di mana Kenneth Low dan Sharon Wee muncul juara masing-masing bagi kategori Lelaki dan Wanita Perdana.

"Alangkah seronoknya acara kebangsaan diadakan. Ini sudah tentu amat baik bagi para pemain meningkatkan ranking kebangsaan mereka dan membuka laluan untuk diserap ke dalam skuad kebangsaan," kata Nicol, ketika ditemui selepas sesi latihan di Pusat Skuasy Negara, hari ini.

Beliau berkata pertandingan itu merupakan satu platform yang baik bagi semua pemain Malaysia sebagai persediaan menghadapi kejohanan terbuka CIMB Malaysia yang akan bermula di sini minggu depan.

"Ini satu persediaan yang baik. Bagi saya, saya ingin mendapatkan rentak yang baik bagi Terbuka Malaysia. Tentu seronok dan satu pengalaman hebat untuk bersaing dengan orang yang sama kita berlatih," kata Nicol.

Kali terakhir beliau bersaing dalam acara itu yang sebelum ini dikenali sebagai kejohanan tertutup kebangsaan pada 1997 semasa berusia 13 tahun, di mana beliau tewas kepada Sharon di peringkat suku akhir.

Nicol akan memulakan kempennya dalam kategori Wanita Perdana esok menentang pilihan ke-16 Teh Min Jie.

Walaupun Nicol dijangka mendapat laluan mudah, pilihan kebangsaan menjangka saingan beliau akan memberi tentangan sengit terutama rakan sepasukan kebangsaannya Delia Arnold dan Low Wee Wern.

Dalam kategori lelaki Perdana, Mohd Azlan Iskandar dan Ong Beng Hee akan berehat esok kerana kedua-duanya mendapat 'bye' dalam undian pusingan pertama. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain