suria

Kejohanan Formula Future Di Taman Botani Putrajaya Dari 22-25 Julai

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama Persatuan Sukan Air Bermotor Malaysia akan menganjurkan kejohanan Formula Future Kebangsaan di Taman Botani, Putrajaya, dari 22 hingga 25 Julai.

Kejohanan tersebut merupakan medan untuk mencari remaja lelaki dan perempuan yang berusia tujuh hingga 18 tahun, yang mahir dalam pengendalian bot, untuk mewakili negara ke Kejohanan Formula Future Dunia.

"Kejohanan kebangsaan mula diperkenalkan pada 2003 dan pemandu bot remaja negara kemudian muncul juara sebanyak empat kali pada Kejohanan Dunia pada 2004, 2005, 2007 dan 2008," menurut KBS dalam kenyataan, di sini, semalam.

Formula Future merupakan asas kepada perlumbaan bot laju peringkat tinggi seperti Formula 4/SST 250, Formula 3, Formula 2 Boat GP hingga ke peringkat tertinggi iaitu Formula 1 Power Boat World Championship.

Pemilihan ke peringkat kebangsaan dilakukan di seluruh negara kecuali di Labuan dan Sarawak.

Pemilihan 10 peserta peringkat negeri mengikut lima kelas yang dipertandingkan iaitu kelas 1 (7 hingga 9 tahun), Kelas 2 (10-11 tahun), Kelas 3 (12-13 tahun), Kelas 4 (14-15 tahun) dan kelas 5 (16-18 tahun). - BERNAMA

Artikel Berikut

Azlan Temui Cinta Baru

Artikel Lain