suria

Tonton Piala Dunia Sambil Makan Durian Di Dataran Merdeka

KUALA LUMPUR: Peminat bola sepak yang menggemari durian kini berpeluang menikmati keenakan raja buah itu sambil menonton perlawanan akhir Piala Dunia 2010 antara Sepanyol dan Belanda di Dataran Merdeka awal pagi Ahad.

Pengarah Kanan Urus Niaga Segar Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Ahmad Ishak berkata sebanyak 10 tan durian disediakan bagi tempoh dua hari tayangan perlawanan akhir serta penentuan tempat ketiga kejohanan bola sepak yang diadakan empat tahun sekali itu.

"Buah-buah ini kami sediakan khas untuk tayangan perlawanan Piala Dunia untuk dua hari di sini, ianya kami peroleh dari negeri Pahang, Johor dan juga Perak," katanya kepada Bernama pada Sabtu.

Beliau berkata penonton hanya perlu membayar RM15 untuk makan seberapa banyak durian serta buah-buahan tempatan lain seperti rambutan, manggis dan dokong.

"Dengan hanya RM15, pengunjung juga berpeluang untuk menikmati kelazatan buah-buahan lain yang turut disediakan antaranya seperti rambutan, manggis, dokong serta air mineral, ini ibarat bonus bagi mereka yang menonton di sini," katanya.

Tinjauan Bernama sebelum tayangan perlawanan tempat ketiga antara Uruguay dan Jerman pula mendapati ramai pengunjung ke Dataran Merdeka bagi menyaksikan perlawanan itu.

Antaranya Mohamad Izrail, 23, dari Petaling Jaya yang tiba seawal jam 8 malam.

"Saya datang sini sebab ada kawan beritahu boleh tengok perlawanan bola sepak melalui skrin besar kat sini, dari tengok kat rumah di televisyen (yang) kecil sahaja, baik datang kat sini.

"Lagipun, kat sini ramai kawan-kawan saya tengok bola sekali, puas hati sikit dapat sorak ramai-ramai," katanya.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Ahmad Fuad Ismail dijangka melakukan cabutan bertuah pada 3.15 pagi esok yang menawarkan hadiah utama sebuah kereta Naza Kia Picanto.

Orang ramai boleh mengisi borang pendaftaran khas untuk cabutan bertuah tersebut di khemah pameran Naza Kia di Dataran Merdeka sebelum tempohnya ditutup Ahad ini. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain