suria

Tengku Abdullah Sedia Kembali Semula Ke FAM

PEKAN: Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah sedia memikul kembali tanggungjawab selaku Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Baginda bertitah, ia merupakan satu tawaran yang sukar ditolak setelah dicalonkan semula untuk bertanding bagi jawatan tersebut.

"Ini adalah satu tawaran yang buat saya rasa amat susah saya nak kata tidak," titah baginda di sini.

Tengku Abdullah memegang jawatan berkenaan bermula Februari 1992, namun melepaskannya pada Mac 1993.

Baginda bagaimanapun kembali memegang jawatan itu pada Februari 1994 sebelum melepaskannya semula pada Julai 2007.

Baginda bertitah, baginda telah dimaklumkan bahawa terdapat lebih kurang tujuh orang calon yang disebut-sebut untuk mengisi jawatan tersebut.

"Saya juga dapat pencalonan, dah tentu ini satu penghormatan bagi saya, saya harap (Persatuan Bola Sepak) negeri-negeri memberi sokongan kepada saya sebulat suara, maka saya dengan berbesar hati akan kembali semula," titah baginda.

Namun Tengku Abdullah turut menegaskan, baginda tidak akan mengisi jawatan itu sekiranya akan menjadi punca kepada perpecahan dalam persatuan berkenaan.

Baginda mengakui sukan bola sepak masih tersemat dalam sanubari baginda.

FAM akan mengadakan mesyuarat agung tahunan dan sekaligus pemilihan kepimpinan tertinggi pada 31 Julai ini, untuk penggal 2010 hingga 2014.

Jawatan yang dipertandingkan adalah Presiden (satu jawatan), Timbalan Presiden (dua jawatan), Naib Presiden (empat jawatan) dan lapan jawatan Ahli Majlis FAM.

Notis mengenai mesyuarat tahunan dan borang pencalonan telah dihantar pada 29 April lepas kepada semua anggota gabungan FAM.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad sebelum ini mengesahkan bahawa Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah telah menyatakan kesudian untuk terus menerajui badan induk bola sepak negara itu.

Dua jawatan Timbalan Presiden FAM kini disandang oleh Datuk Redzuan Sheikh Ahmad dan Khairy Jamaluddin Abu Bakar sementara penyandang jawatan naib presiden diketuai oleh Datuk Che Mat Jusoh, Datuk Affandi Hamzah dan Ahamad Mohamad manakala Datuk Gulzar Mohamad telah meletak jawatan pada November tahun lepas.

Ditanya mengenai tumpuan baginda kepada persatuan lain, Tengku Abdullah yang juga Presiden Persatuan Hoki Malaysia serta Presiden Persatuan Polo Diraja Malaysia bertitah, perkara itu tidak menjadi halangan untuk baginda memberi tumpuan dan tahu bagaimana untuk membahagikan tanggungjawab baginda.

Titah baginda, sukan hoki kini berada pada landasan yang baik dan secara tidak langsung dapat meringankan sedikit tugas baginda. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain