suria

Sharon Wee Mara Ke Final Skuasy Terbuka Tasmania

MELBOURNE: Pemain Malaysia Sharon Wee mempamerkan kehebatannya pada Kejohanan Skuasy Terbuka Tasmania apabila dengan mudah mengalahkan pemain Australia Sarah Cardwell, 19, dengan mata 11-3, 11-4, 11-2 pada perlawanan separuh, semalam.

Wee, pemain nombor 34 dunia, akan bertemu pemain pilihan kedua Lisa Camilleri dari Queensland pada perlawanan akhir.

Pada perlawanan suku akhir Terbuka Victoria minggu lepas, Wee kalah mengejut dan menurut pemain ini, dia tidak dapat bermain dengan baik kerana diserang selesema.

Kini, Wee telah pulih sepenuhnya dan dalam perjalanannya menuju ke peringkat akhir, pemain ini telah mengalahkan tiga pencabar muda dari Australia - Challen Stowell, Maggy Marshall dan Cardwell.

"Saya tahu perlawanan dengan Lisa bukan sesuatu yang mudah dan oleh itu saya perlu bekerja keras.

"Kami belum pernah bertarung dalam mana-mana kejohanan, tapi dia rakan yang baik dan kami sering berlatih bersama minggu ini," katanya kepada pemberita selepas meraih kemenangan pada perlawanan separuh akhir itu.

Menduduki ranking ke-39 dunia, Camilleri mara ke perlawanan akhir setelah mengalahkan Melody Francis dari Melbourne dalam perlawanan sengit sebanyak tiga set.

Camilleri mencatat tiebreak pada set pertama sebelum mengatasi Francis dengan 15-13, 11-3, 11-8 dan seterusnya memperoleh peluang bagi mencapai kemenangan pada kejohanan ke-11 yang disertainya dan kemenangan kelima secara berturut-turut.

Perlawanan akhir bagi kategori lelaki juga akan menyaksikan pertemuan antara dua pemain pilihan setelah Mike Corren dan Nathan Stevenson dari Australia Selatan mempamerkan kehebatan dengan mengalahkan lawan masing-masing pada perlawanan separuh akhir.

Corren, 36, berazam untuk mencatat gelaran juara bagi kali ke-28 dalam siri Jelajah Persatuan Skuasy Profesional setelah mengalahkan pemain pilihan ketiga Bart Ravelli dari Belanda 11-6, 11-7, 11-6.

Corren dan Stevenson telah bertemu sebanyak enam kali dalam siri Jelajah PSA, tetapi Corren, yang lebih berusia, menang dalam setiap pertemuan mereka, termasuk pada tiga perlawanan akhir.

Walaupun belum pernah meraih gelaran juara dalam siri PSA, Stevenson kelihatan cukup hebat ketika menumpaskan pemain bukan pilihan dari New Zealand Evan Williams 11-3, 11-5, 11-3. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain