suria

Putrajaya Akan Direalisasikan Sebagai Kota Mesra Belia

PUTRAJAYA: Kementerian Belia dan Sukan akan berbincang dengan Perbadanan Putrajaya secara komprehensif untuk merealisasikan Putrajaya sebagai kota mesra belia.

Menterinya Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata pihaknya akan memanggil semua pihak berkaitan termasuk pertubuhan-pertubuhan belia untuk menghadiri rundingan meja bulat bagi menjayakan hasrat itu.

"Cadangan untuk menjadikan Putrajaya sebagai kota mesra belia merupakan salah satu agenda utama dalam Rancangan Malaysia ke-10, oleh yang demikian perkara ini harus dilihat secara mendalam," katanya kepada media selepas menghadiri majlis penutup Putrajaya Sailing Week 2010 di sini.

Beliau berkata Perbadanan Putrajaya menyediakan pelbagai kemudahan dan berusaha keras untuk mengindahkan kota itu, namun untuk menjadikan ia sebagai kota mesra belia, ia memerlukan penelitian yang lebih dalam.

Perbadanan Putrajaya merupakan satu badan yang diberi mandat bagi membangun, mentadbir dan mengurus Putrajaya bagi pihak Kerajaan Persekutuan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain