suria

Pasukan Negara Unggul Dalam Cabaran 'Shell Eco-Marathon'

SEPANG: Dua pasukan dari institusi pengajian tinggi tempatan berjaya mengungguli kategori masing-masing dalam cabaran 'Shell Eco-Marathon Asia 2010' yang diadakan di Litar Antarabangsa Sepang dekat sini, walaupun dibayangi cabaran hebat daripada pasukan luar negara.

Fuel Cell Vehicle Team dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memenangi kategori sel bahan api setelah mencatat jarak 598.8km, mengatasi pencabar terdekatnya Ngee Ann Polytechnic dari Singapura yang mencatat 535.4km menerusi cabaran jarak maksimum dengan menggunakan seliter bahan api.

Kejayaan itu sekali gus menghadiahkan pasukan tersebut wang tunai US$1,000, trofi dan medal.

Ketua pasukan tersebut Joerg Dieter Weigl, 32, berkata kejayaan pasukannya meraih kemenangan itu hasil kerjasama dan semangat berpasukan yang ditonjolkan oleh anggotanya.

Katanya pertandingan itu amat mencabar kerana terpaksa bersaing dengan beberapa pasukan dari luar negara yang menampilkan kreativiti dan inovasi masing-masing.

"Kami telah melakukan usaha yang sangat baik dan akan terus berusaha untuk mendapat kemenangan yang lebih baik pada edisi akan datang," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penyampaian hadiah 'Shell Eco-Marathon Asia 2010' di sini pada Sabtu. Pengarah Bahagian Akademik, Kementerian Pengajian Tinggi Profesor Madya Dr Zarida Hambali dan Pengerusi Shell Malaysia Anuar Taib menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Pasukan UKMCAR2 dari Universiti Kebangsaan Malaysia pula memenangi kategori bahan bakar altenatif setelah mencatat jarak 479.5km dengan menggunakan seliter bahan api gas petroleum cecair' (LPG), sekali gus meraih wang tunai US$800, trofi dan medal.

Ketua pasukan, Cindy Lora Sagan, 22, berkata usaha keras dan semangat berpasukan yang ditonjolkan oleh setiap ahli merupakan kunci kejayaan tersebut.

"Kami sangat gembira dan lega walaupun letih sedikit sebab kami telah berusaha bersungguh-sungguh untuk memenangi pertandingan ini," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Dr Zarida berkata penganjuran program ini amat penting kerana memberi peluang kepada pelajar untuk menjadikannya sebagai platform bagi mengetengahkan idea, kreativiti dan mengaplikasikan apa yang dipelajari.

"Penyertaan dan kerjasama pihak swasta dalam menyediakan platform seperti itu amat dialu-alukan oleh kementerian dan berharap kerjasama tersebut diperbanyakkan pada masa-masa akan datang," katanya.

Cabaran 'Shell Eco-Marathon Asia 2010' yang julung kali dianjurkan di Asia sejak penganjuran edisi pertamanya pada 1985 berakhir hari ini selepas dua hari berlangsung dengan pasukan dari institusi pengajian tinggi luar negara terutama Thailand dan Singapura mendominasi sebahagian besar kejuaraan.

Pasukan ATE-1 dari Thailand's Army Transportaion Engeering School dari Thailand memenangi hadiah keseluruhan selepas mencipta rekod jarak paling jauh pada edisi pertama eco-marathon ini dengan jarak 1521.9km dengan menggunakan seliter bahan api.

Pertandingan itu membolehkan bakat muda menyahut cabaran untuk mereka bentuk, membina dan memandu kenderaan yang boleh membuat perjalanan paling jauh menggunakan bahan api paling sedikit dan melepaskan paras karbon dioksida serendah mungkin.

Sebanyak 81 pasukan dari 10 buah negara menyertai cabaran kali ini dengan Pakistan mendominasi penyertaan selepas menghantar 20 pasukan bertanding diikuti Malaysia dengan 19 pasukan, Thailand (13), Indonesia (sembilan) dan Singapura (lapan).

Selain itu Jepun, Filipina, China dan India turut menghantar wakil masing-masing. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain