suria

PPM Mahu Jadi Tuan Rumah Kejohanan Polo Piala Dunia 2014

PEKAN: Persatuan Polo Malaysia (PPM) berhasrat membida Malaysia sebagai tuan rumah bagi kejohanan Polo Piala Dunia yang bakal berlangsung pada 2014.

Presiden Persatuan Polo Diraja Malaysia Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, promosi penganjuran kejohanan itu akan bermula tahun depan dan persiapan yang dijangka selesai sebelum akhir tahun ini, sedang diatur.

"Tempat bagi kejohanan itu, kita bercadang untuk menganjurkannya di Pahang, tetapi keadaan padang perlu dibaiki terlebih dahulu bagi membolehkan pasukan bertanding beraksi dengan lebih baik.

"Selain itu, persatuan juga akan turut menyediakan gelanggang gantian seperti di Putrajaya dan Selangor, sebagai langkah awal bagi membolehkan Malaysia dapat memastikan kejohanan berjalan lancar," katanya selepas tamat perlawanan akhir Kejohanan Polo Royal Pahang Classic 2010 yang berlangsung di Arena Polo, Pekan di sini, pada Sabtu.

Tengku Abdullah berkata buat permulaan, Malaysia dipilih bagi menganjurkan perlawanan pusingan Polo Piala Dunia bagi Zon Asia Pasifik yang bermula tahun depan.

Keputusan itu, kata baginda, adalah tepat kerana selepas berjaya menganjurkan kejohanan tersebut, Malaysia akan berpeluang dipilih sebagai tuan rumah Piala Dunia 2014.

"Kita diberi penghormatan untuk menjadi tuan rumah bagi Zon D ini. Pasukan negara kita akan menghantar pemain ke Argentina selepas bulan puasa ini dan mereka akan berlatih di sana sampai hujung tahun, lebih kurang tiga empat bulan.

"Dan juga kita akan membuat pemilihan kuda di sana, dan (gandingan) mereka ini akan diteruskan sampai mereka balik tahun depan, kita akan cuba hantar mereka bertanding di luar negara," kata baginda.

Tengku Abdullah berkata Malaysia akan dibarisi enam pemain berpengalaman dan baru sebagai persediaan menghadapi kejohanan pusingan Polo Piala Dunia tahun depan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain