suria

Peluang Jerman, Uruguay Tebus Kekecewaan

Kehadiran semula Mueller membawa khabar gembira buat Jerman.
Kehadiran semula Mueller membawa khabar gembira buat Jerman.
Kehadiran semula Mueller membawa khabar gembira buat Jerman.

JERMAN dan Uruguay berpeluang untuk mengembalikan semula maruah pasukan dalam playoff tempat ketiga, Ahad ini selepas tewas kepada Sepanyol dan Belanda pada aksi separuh akhir.

Pasukan termuda pimpinan Pengurus Joachim Loew itu kini berada pada tahap terbaik untuk menebus kekecewaan mereka dalam satu lagi aksi terakhir di Port Elizabeth, awal pagi Ahad ini.

"Kekecewaan memang ada tetapi kami perlu melupakan kekalahan itu. Kami akan melangkah ke perlawanan itu dengan fokus yang tinggi. Tiada siapa mahu kecewa buat kali kedua," katanya.

Sejarah tidak memihak kepada juara dunia dua kali Uruguay dalam perlawanan ini apabila mereka menamatkan dua perlawanan separuh akhir sebelum ini di tempat keempat, tewas dalam aksi playoff kepada Australia pada 1954 dan Jerman, 1970.

Jerman pula menduduki tempat ketiga dalam tiga perlawanan terdahulu dan tewas kepada Perancis dalam aksi playoff pada 1958.

Dua tonggak utama Jerman dan Uruguay yang membawa kedua-dua pasukan melepasi pusingan kalah mati sudah bersedia diturunkan selepas selesai menjalani hukuman digantung perlawanan.

Thomas Mueller yang tidak beraksi ketika Jerman berdepan Sepanyol, Rabu lalu akan kembali memperkuat pasukan begitu juga penyerang Uruguay, Luis Suarez yang digantung perlawanan kerana sengaja menyentuh bola untuk menafikan percubaan pemain Ghana.

Uruguay yang tewas 2-3 kepada Belanda pada aksi separuh akhir mungkin kehilangan sentuhan penyerang Diego Forlan akibat kecederaan paha.

Tiga pemain, Forlan, Mueller dan Miroslav Klose kini berkongsi tempat kedua dalam senarai penjaring terbanyak selepas masing-masing meledak empat gol.

Artikel Lain