suria

Malaysia Belasah Kazakhstan 12-1

IPOH: Skuad hoki negara berpesta gol apabila menewaskan Kazakhstan 12-1 dalam Kejohanan Hoki Tertutup Piala Sultan Azlan Shah yang berlangsung di Stadium Indera Mulia di sini semalam.

Malaysia mendahului 8-1 pada separuh masa pertama.

Chua Boon Huat mencipta hatrik dalam perlawanan itu apabila menyumbat masuk gol pada minit ke-2, ke-3 dan ke-11.

Seminit kemudian, giliran S. Kuhan pula melakukan jaringan keempat melalui gol padang dan menambah jaringan melalui pukulan sudut penalti pada minit ke-15.

Gol keenam dan ketujuh diperoleh melalui jaringan Mohd Syafiq Yaacob pada minit ke-16 dan ke-19 manakala gol tunggal Kazakhstan diperoleh melalui pukulan Zhumagaliyev Manat pada minit ke-12.

Mohd Nur Hafidz Mohd Nor menyumbang jaringan kelapan pasukan negara sebelum berakhir separuh masa pertama.

Malaysia terus cemerlang dan menambah mata sebaik sahaja babak kedua bermula melalui Mohd Nur Hafidz seawal minit pertama.

Gol seterusnya dijaringkan S. Selvaraju pada minit ke-25 diikuti jaringan Megat Azrafiq pada minit ke-37 dan oleh Kuhan seminit sebelum tamat perlawanan.

Dengan kemenangan itu, Malaysia yang berkongsi sembilan mata bersama Iran kini menduduki tangga kedua kejohanan berdasarkan jaringan gol.

Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan petang ini, juara bertahan Iran membenam Uzbekistan 13-0.

Gol Iran dijaringkan melalui Norouzzadeh Reza (empat gol), Beiranvan Behdad (tiga gol), Oruei Abbad (dua gol) dan masing-masing satu gol oleh Malek Ahmad Mohd Mehdi, Gordan Ehsan, Abbasi Reza dan Bohlooli Masoud.

Dalam satu lagi perlawanan, Pakistan menewaskan Thailand 6-1.

JADUAL PERLAWANAN HARI INI

1. Thailand lwn Kazakhstan - 2. 30 petang

2. Iran lwn Malaysia - 4 petang

3. Pakistan lwn Uzbekstan - 5.30 petang - BERNAMA

Artikel Lain