suria

Malaysia Sertai Piala Dunia Lawan Pedang IWAS 2010

KUALA LUMPUR: Selepas beberapa tahun tidak menyertai mana-mana kejohanan peringkat antarabangsa, Cawangan Paralimpik Majlis Sukan Negara (MSN) akan menghantar tiga atlet ke Piala Dunia Lawan Pedang Persekutuan Sukan Berkerusi Roda dan Kudung Antarabangsa (IWAS) di Warsaw, Poland.

Abdul Rahman Razali, Mohd Zamrin Kassim dan Mohd Fauzizaldi Jusoh diberi tanggungjawab menggalas cabaran negara pada kejohanan tahunan itu yang bermula Jumaat ini hingga 11 Julai depan.

Pengarah Cawangan Paralimpik MSN Mohd Safrushahar Yusoff berkata keputusan itu dibuat selaras dengan usaha mereka untuk menempatkan atlet-atlet elit paralimpik dalam senarai ranking dunia.

"Selepas sahaja Sukan Para Asean di Korat, Thailand pada 2008, atlet-atlet elit khususnya dalam acara lawan pedang ini tidak berpeluang menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa termasuk Sukan Para Asean yang diadakan di sini tahun lepas.

"Pada temasya di Kuala Lumpur tahun lepas, atlet kita tidak dapat beraksi dan mengukur kemampuan mereka memandangkan acara berkenaan tidak dipertandingkan," katanya kepada Bernama di sini, semalam.

Mohd Safrushahar berkata pendedahan ini secara tidak langsung bertujuan untuk membolehkan kesemua atlet berkenaan menggumpul mata ranking dunia untuk melayakkan diri ke Sukan Paralimpik London pada 2012.

Ketiga-tiga atlet berkenaan menjalani latihan sepenuh masa di MSN sejak Februari lepas di bawah bimbingan jurulatih Muhammad Fairuz Ibrahim.

Mereka akan mengambil bahagian dalam acara Epee individu dan berpasukan kategori B serta Sabre individu dan berpasukan kategori A, katanya.

Beliau berkata sandaran utama terletak di bahu pemenang pingat emas Epee individu kategori B di Sukan Para Asean Korat iaitu Abdul Rahman Razali.

"Kita tidak letakkan sasaran yang tinggi kepada mereka semasa beraksi di Poland. Bagaimanapun, saya mengharapkan mereka mampu memberi saingan yang sewajarnya.

"Penyertaan pada Piala Dunia Lawan Pedang IWAS ini juga akan dijadikan pendedahan kepada atlet dalam menghadapi temasya Sukan Para Asia pertama di Guangzhou, China pada Disember depan," kata Mohd Safrushahar.

Ketiga-tiga atlet itu, yang diiringi tiga pegawai, berangkat ke Warsaw, Poland semalam. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain