suria

Loh, Zulfadhli Tidak Beraksi Pada Kejohanan ASG

KUALA LUMPUR: Malaysia hanya mensasarkan untuk mengutip empat daripada tujuh pingat emas bagi acara badminton pada kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN (ASG) minggu depan berikutan ketiadaan dua pemain badminton perseorangan handalan negara Loh Wei Sheng dan Zulfadli Zulkifli.

Berikutan itu, pegawai penyelaras badminton ASG K.Vasudevan berkata pihaknya kini menumpukan pada acara berpasukan lelaki dan wanita serta beregu lelaki dan wanita.

"Pemain utama kita Loh dan Zulfadhli tidak dapat beraksi bersama pasukan kerana mengalami kecederaan.

"Kita terpaksa harapkan pada beregu untuk dapatkan emas buat negara," katanya kepada Bernama di sini semalam.

Pasukan lelaki Malaysia dibarisi perseorangan Goh Gian Chin, Soo Teck Chi, Soong Joo Ven dan Tan Kang Meng serta pemain beregu Nelson Heng, Teo Ee Yi, Calvin Ong dan Low Juan Shen.

Pasukan wanita pula terdiri daripada perseorangan Sonia Cheah, Yang Li Lian, Lim Yin Fun dan Lim Chiew Sien manakala beregu diwakili Shevon Lai Jemie, Lai Pei Jing, Chow Mei Kuan dan Lee Meng Yean.

Vasudevan berkata pemain negara dijangka mendapat tentangan hebat pasukan Thailand.

Temasya yang diadakan buat kali kedua itu akan berlangsung selama 10 hari bermula Isnin depan dengan penyertaan 1,300 atlet dan pegawai dari tujuh negara iaitu juara bertahan Thailand, Brunei, Filipina, Indonesia, Singapura, Vietnam dan tuan rumah Malaysia.

Acara badminton akan diadakan di Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras, pada 14 hingga 18 Julai ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain