suria

Kekuatan Barisan Tengah Kunci Kejayaan Sepanyol

Pemain Jerman, Lukas Podolski (dua dari kiri) bersalaman dengan Xavi selepas tamat perlawanan. Foto REUTERS
Pemain Jerman, Lukas Podolski (dua dari kiri) bersalaman dengan Xavi selepas tamat perlawanan. Foto REUTERS
Pemain Jerman, Lukas Podolski (dua dari kiri) bersalaman dengan Xavi selepas tamat perlawanan. Foto REUTERS

PENGURUS Sepanyol, Vicente del Bosque mendedahkan penguasaan barisan tengah berbekalkan pengalaman dan pemain berbakat adalah kunci kejayaan Sepanyol ke atas Jerman pada aksi separuh akhir Piala Dunia, awal pagi tadi.

Sepanyol melancarkan serangan tanpa belas kasihan dan menguasai bola ketika pemain tengah Jerman cuba untuk mengulangi gerakan pantas seperti yang dipamerkan ketika menundukkan England dan Argentina.

"Kejayaan pasukan sentiasa berasaskan kualiti pemain di bahagian tengah. Mereka dilihat begitu terancang dan mempunyai bakat individu.

"Kami ada pemain hebat, cemerlang dan bijak yang menjadikan perlawanan lebih mudah. Saya mengemudi bakat muda yang begitu berpengalaman dalam bola sepak," katanya.

Tonggak utama kejayaan Sepanyol adalah Xavi Hernandez yang sentiasa melorong bola, melakukan hantaran jauh dan boleh melepasi kawalan ketat pemain Jerman.

Dia juga yang membuka peluang kepada Carles Puyol untuk menanduk masuk gol tunggal Sepanyol sekali gus membawa pasukan itu mara ke pusingan final buat pertama kalinya.

"Kami sentiasa ingin mempamerkan persembahan terbaik. Semua pemain melaksanakan tugas masing-masing dengan cemerlang," tambahnya.

Xavi memuji semangat yang ditonjolkan rakan sepasukannya dan memberitahu mereka sentiasa serasi dan selesa bekerjasama sepanjang perlawanan itu.

"Saya amat gembira. Kami layak menang kerana sudah mempamerkan persembahan berkualiti. Kami menguasai keseluruhan perlawanan dan corak permainan kami dapat membuktikan kejayaan pasukan," ujarnya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain