suria

Kejohanan Olahraga Tertutup KOAM Ditunda Ke September

KUALA LUMPUR: Kejohanan Olahraga Tertutup Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) yang sepatutnya berlangsung dari 24 hingga 26 Julai telah ditunda pada 24 hingga 26 September.

Timbalan presiden KOAM, Karim Ibrahim berkata penangguhan itu berikutan ramai atlet kebangsaan berada di luar negara dan ada yang sedang melakukan persiapan akhir bagi menghadapi Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Asean (ASG) dari 12 hingga 21 Julai ini, Sukan Olimpik Remaja, Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

"Berikutan ramai atlet terlibat dalam pelbagai kejohanan dan latihan di dalam dan luar negara, KOAM mengambil keputusan untuk menunda tarikh kejohanan tersebut," katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

"Ini kerana kejohanan tersebut juga merupakan sebahagian daripada kejohanan kelayakan bagi atlet yang perlu melepasi had dan masa ke Sukan Komanwel dan Sukan Asia," katanya.

Selain daripada Kejohanan Olahraga Tertutup Koam yang sepatutnya berlangsung di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil, atlet kebangsaan juga berpeluang untuk layak ke Sukan Komanwel pada 3 hingga 14 Okt di New Delhi, India dan Sukan Asia pada 12 hingga 27 November di Guangzhou, China melalui dua kejohanan olahraga di Belgium dan Jerman.

Menurut Karim, setakat ini tiga atlet telah melayakkan diri ke Sukan Komanwel dan tujuh lagi untuk Sukan Asia.

Atlet yang telah melayakkan diri ke Sukan Komanwel ialah Teoh Boon Lim dan Lo Chong Sieng (20km jalan kaki lelaki) dan Lee Hup Wei (lompat tinggi lelaki).

Sementara Hup Wei dengan pencapaian terkini 2.24m juga melayakkan diri ke Sukan Asia, di samping Roslinda Samsu (lompat bergalah wanita) serta Norjannah Hafiszah, Nurul Sarah, Siti Fatimah, Yee Yi Ling dan Cynthia Manghing untuk acara 4x100m wanita.

"Kesemua atlet ini dan beberapa atlet kebangsaan yang lain kini sedang menjalani latihan di Eropah dan juga Amerika Syarikat. Koam meletakkan sandaran kepada Hup Wei, Roslinda dan Norasheela untuk menyumbang pingat emas pada Sukan Asia," kata Karim.

Muhd Ajmal Aiman (110m lompat berpagar), S.Navin Raj (lompat tinggi) dan Mohd Fahme Zamzam Mehamed (lompat bergalah) telah melayakkan diri ke temasya sulung Sukan Olimpik Remaja di Singapura, Ogos depan. - BERNAMA

Artikel Lain