suria

Felda United Perlu Menang Semua Baki Perlawanan

KUALA LUMPUR: Felda United tidak mempunyai pilihan kecuali memungut mata penuh pada baki tiga perlawanan Liga Perdana sebelum mengesahkan gelaran juara liga musim ini.

Felda United mengorak langkah dengan menentang pencabar terdekat PKNS Selangor Jumaat ini di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, di sini sebelum melengkapkan jadual menentang Harimau Muda pada 16 Julai dan Tentera (ATM) pada 23 Julai ini.

Bagaimanapun, laluan Felda United meraih gelaran juara musim ini masih samar berikutan kedudukan pendahulu liga itu hanya dipisahkan dengan satu mata dengan pasukan PKNS di tangga kedua.

Felda United memiliki 43 mata setakat ini dan perlu mengumpul tiga mata penuh dalam baki perlawanan bagi menyingkirkan PKNS daripada saingan merebut gelaran juara dan menempah tempat ke Liga Super musim depan.

"Kita perlu menang jika ingin julang Piala Perdana musim ini dan mencapai hasrat beraksi pada Liga Super dan Piala Malaysia nanti," kata penolong pengurus pasukan Faisal Zakaria hari ini.

Mengikut peraturan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hanya tiga pasukan teratas pada saingan Liga Perdana dipelawa menyertai Liga Super pada musim depan.

Faisal yakin dengan persiapan barisan pemainnya serta mempunyai azam yang tinggi untuk mencapai matlamat menjadi johan liga sekaligus layak buat julung kali ke Liga Super musim depan.

Keyakinan pasukan itu bertambah dengan kehadiran semula penyerang Amir Shahreen Abdul Mubin yang baru pulih daru kecederaan lutut. -BERNAMA

Artikel Lain