suria

Fairuz Sahut Cabaran Sesi Latihan

LOTUS Racing hari ini mengesahkan pelumba negara, Fairuz Fauzy akan mewakili pasukan itu dalam sesi latihan (FP1) bermula Jumaat ini selepas mengambil kira pencapaiannya pada ujian pra musim di Jerez dan Barcelona dengan baki empat perlumbaan yang masih perlu diharungi.

Dia akan terlibat dalam FP1 di Silverstone, Hungary, Singapura dan perlumbaan penutup di Abu Dhabi dengan memandu jentera T127-04 milik Jarno Trulli dan T127-01 yang dipandu Heikki Kovalainen, masing-masing dalam dua perlumbaan.

Fairuz dilaporkan begitu teruja dengan perlumbaan di Silverstone pada hujung minggu ini.

"Pertama sekali saya mahu mengucapkan terima kasih kepada Tony, Mike dan semua kakitangan pasukan kerana memberi peluang kepada saya untuk beraksi. Saya berasa bangga kerana memainkan peranan dalam meneruskan perjuangan pasukan," katanya.

Menurut Fairuz, peluang memulakan sesi latihan di Silverstone adalah sesuatu yang istimewa memandangkan jenteranya antara yang pertama akan diuji di litar itu.

"Saya tidak sabar untuk beraksi dalam tiga perlumbaan akan datang. Singapura pastinya menjanjikan cabaran sengit kerana kami perlu berlumba pada waktu malam. Malah saya akan mempamerkan aksi terbaik kepada peminat di Malaysia dan Singapura kelak," jelasnya.

Ketua Pegawai Teknikal Lotus, Mike Gascoyne memberitahu, Fairuz sentiasa mempamerkan persembahan hebat dan pembabitannya dalam empat perlumbaan adalah ganjaran di atas segala pengorbanannya terhadap pencapaian pasukan.

"Ia satu lagi peluang buat kami untuk mengetahui cara-caranya mengemudi jentera di samping memberi pandangan bernilai mengenai karakter jentera itu," katanya.

Sementara itu, Ketua Pasukan Lotus Racing, Datuk Seri Tony Fernandes berbangga Fairuz akan kembali memperkuat pasukan dalam baki empat perlumbaan.

Tony memberitahu Fairuz sentiasa melakukan tugas dengan cemerlang setiap kali berada di trek.

"Semangat dan keyakinan yang dipamerkan sepanjang perlumbaan tanpa mengira sama ada dia berlumba atau tidak menjadikannya aset berharga untuk pasukan," jelasnya.

Bagi Tony, beliau bukan mengambil kira penglibatan Fairuz pada sesi latihan Jumaat ini tetapi mahu melihatnya membuktikan usaha keras dan semangat juang boleh merealisasikan impian menjadi kenyataan.

"Semua rakyat Malaysia menyokongnya dan Zulfahmi Khairuddin dalam kategori MotoGP 125cc. Mereka membuktikan bakat dan perjuangan boleh membantu seseorang menuju ke puncak," tambahnya.

Artikel Berikut