suria

Dekat Tetapi Masih Jauh:Fazrul

Fazrul memasang impian untuk bangkit menjelang perlumbaan minggu depan.
Fazrul memasang impian untuk bangkit menjelang perlumbaan minggu depan.
Fazrul memasang impian untuk bangkit menjelang perlumbaan minggu depan.

BERHIJRAH dari pasukan Shell Advance Yamaha Maju ke Idemitsu Honda Racing, tidak begitu mudah buat Ahmad Fazrul Sham.

Namun pelumba berusia 26 tahun itu tetap tidak mahu mengalah menjelang saingan Pusingan 5 siri Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang akan berlangsung di Stadium Sultan Mizan Gong Badak, Kuala Terengganu bermula dari 9 hingga 10 Julai ini.

Pelumba kelahiran Taiping itu berhasrat beraksi dengan corak lebih progresif dalam memahami jentera Honda miliknya sekali gus memasang impian untuk memburu mata kejuaraan peribadi dan untuk pasukannya.

Fazrul yang membina karier pemotoran bersama jentera Yamaha sejak 2004, dilihat berhempas pulas tetapi sekadar mencatat keputusan kurang memberangsangkan.

Dia meraih tempat ke-13 pada saingan pembuka tirai di Alor Setar, gagal melayakkan diri ke perlumbaan akhir pada Pusingan 2 (Kluang) dan tidak menamatkan cabaran pada perlumbaan Pusingan 3 di Batu Kawan dan Sepang (Pusingan 4) lepas.

Dia percaya terdapat beberapa faktor penting yang menjamin keberkesanan jentera telah terlepas pandang olehnya dan dia ingin mencari faktor itu dengan melakukan lebih banyak ujian.

“Kami semakin hampir (setanding lawan) namun ada beberapa perkara menyebabkan kami ketinggalan jauh. Pada perlumbaan di Litar Sepang sebagai contoh, kami mendapat suntikan semangat apabila saya berjaya mencatat masa terpantas sesi ujian masa dan berada di grid keempat pada sesi kelayakan.

“Bagaimanapun agak malang bagi kami, apabila segala yang dirancang serba tidak menjadi dan berlangsung secara sempurna,” ujar Fazrul yang kini menduduki tempat ke-20 dengan kutipan 3 mata sahaja.

Selaku pelumba profesional, Fazrul tidak mahu menunding jari terhadap jenteranya sebaliknya merasakan corak perlumbaannya kurang mantap berbanding pencabar lain dari kelas CP130.

“Jentera dan pelumba adalah kombinasi penting dalam mencapai kejayaan. Dari aspek tenikal kami masih dalam proses peningkatan. Saya perlu memperbaiki kemahiran berlumba kerana saya belum sehebat pencabar lain,” jelas bekas juara Novis itu. Fazrul turut meluahkan harapannya menjelang perlumbaan akan datang ini.

“Saya mengintai peluang untuk menamatkan cabaran dalam kelompok lima pelumba teratas minggu depan. Memang ia satu perlumbaan yang sukar apatah lagi ketika ini semua pelumba sudah menemui rentak manakala saya masih tercari-cari formula yang sesuai.

“Namun ia bukan lagi masalah besar memandangkan jentera saya semakin kompetitif. Saya perlu memainkan peranan penting untuk kekal bersaing harus sentiasa berada pada tahap terbaik," ujarnya.

Ketika ditanya reaksinya tatkala berhijrah dari Shell Advance Yamaha Maju ke pasukan masa kini, Fazrul pantas menjawab, dia sedikitpun tidak menyesal.

Menurutnya, dia sudah terlalu lama bekerjasama dengan abang (Ahmad Fazli Sham) dan selama enam tahun itu mereka telah mencapai pelbagai kejayaan.

“Memang kami cukup serasi tetapi saya perlu mencari haluan sendiri jika mahu karier terus gemilang. Saya tidak mengharapkan untuk bersama Fazli selama-lamanya dan percaya masa sudah tiba buat saya muncul secara solo.

“Saya cukup selesa bersama pasukan Idemitsu Honda Racing dan berharap suatu hari nanti kami akan berada pada tahap sama dengan pasukan-pasukan elit lain,” tambah Fazrul lagi.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut, hubungi Safe Aim Mutual Sdn Bhd di 03-87338787 atau layari laman web www.malaysiancubprix.com

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain