suria

Skuad K.Rajagobal Akan Berlepas Ke Wales

KUALA LUMPUR: Malaysia dijangka menghantar skuad kebangsaan untuk berlatih di Wales selepas pasukan divisyen dua Liga Perdana Inggeris (EPL), Cardiff City membatalkan hasrat untuk mengadakan perlawanan persahabatan di sini pada 14 dan 17 Julai ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Azzuddin Ahmad berkata, surat pembatalan dan jemputan untuk pasukan kebangsaan berlatih bersama pasukan itu di negara asalnya, Wales, diterima baru-baru ini.

"Cardiff City memberitahu pembatalan tersebut atas alasan logistik.

"FAM kini sedang mencari tarikh sesuai untuk menghantar pasukan kebangsaan bimbingan K. Rajagobal ke Wales. Latihan di sana juga sebagai persediaan skuad negara ke Sukan Asia di Guangzhou pada November ini," katanya kepada pemberita, di sini semalam.

Cardiff City, yang kini dimiliki jutawan Malaysia Tan Sri Vincent Tan, dijadual menentang pasukan junior Malaysia pada 14 Julai sebelum skuad senior mereka bertemu skuad senior Malaysia pada 17 Julai.

Pemantauan Bernama di laman web Cardiff City mendapati satu kenyataan yang menyebut bahawa "pembatalan itu berikutan lawatan tinjauan Pengarah Cardiff City FC, Dave Jones ke Kuala Lumpur menyaksikan semakan semula waktu dan logistik yang dicadangkan bagi jelajah itu, menyebabkan keputusan diambil untuk opsyen altenatif jelajah bagi tahun ini.

"Kelab kini sedang melihat kepada rancangan bagi jelajah pra-musim Malaysia, pada tahun depan," menurut kenyataan di laman web itu.

Azzuddin berkata, skuad K. Rajagobal bagaimanapun berpeluang untuk beraksi menentang skuad Olimpik Korea Selatan dalam satu perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada pukul 5 petang, 25 Julai.

Beliau berkata skuad Korea Selatan yang dibarisi pemain bagi Sukan Olimpik 2012 di London akan turut disertai beberapa pemain senior negara yang beraksi di Piala Dunia di Afrika Selatan.

Korea Selatan merupakan satu daripada wakil Asia selain Jepun yang mara ke pusingan kalah mati Piala Dunia tetapi masing-masing gagal meneruskan kemaraan ke peringkat suku akhir, yang bermula Sabtu ini.

Pada perlawanan peringkat kalah mati, Korea Selatan tewas kepada Uruguay 2-1 sementara Jepun tunduk kepada Paraguay 5-3 dalam penentuan sepakan penalti.

Terdahulu, hasrat rakyat Malaysia untuk melihat aksi sembilan kali juara Eropah, Real Madrid menentang skuad kebangsaan pada 21 Ogos tidak kesampaian selepas FAM terpaksa membatalkan perlawanan disebabkan kos penganjuran yang tinggi. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain