suria

Malaysia Sasar Kelompok Tiga Terbaik Pada Kejohanan ISAF

LANGKAWI: Skuad pelayaran Malaysia mensasarkan tempat dalam kelompok ketiga terbaik pada kejohanan International Sailing Federation (ISAF) Volvo Remaja Dunia 2010 di Istanbul, Turki yang bermula 8 Julai ini.

Pengurus Besar Persatuan Pelayaran Malaysia (MYA) Mohd Afendy Abdullah berkata, empat pelayar elit dan pelapis kebangsaan dipilih untuk menggalas cabaran negara ke kejohanan selama 10 hari itu.

Beliau berkata pelayar elit Khairulnizam Mohd Afendy yang memenangi pingat emas pada Sukan Malaysia di Melaka baru-baru ini mempunyai peluang cerah untuk memenangi pingat dalam kelas Laser Radial lelaki.

Katanya Khairulnizam, 18, masih memburu tempat untuk disenarai ke Sukan Asia 2010 di China pada penghujung tahun ini dalam kelas Laser Standard, dan beliau akan menyertai Kejohanan Laser Radial Dunia di Scotland selepas pertandingan di Turki.

"Selain itu pelayar pelapis Nur Amirah Hamid diharapkan dapat membawa kejayaan dalam kelas Laser Radial wanita manakala gandingan Khairunisa Mohd Afendy dan Amira Izla Zulkifli akan membawa cabaran negara dalam kelas Internasional 420," katanya.

Mohd Afendy berkata beliau yakin pelayar negara mampu memberikan persembahan cemerlang setelah menjalani latihan pusat di Kompleks Latihan Perahu Layar Kebangsaan di Langkawi selama dua minggu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain