suria

Weng Sun Kuasai Siri GT Malaysia

Mok Wen Sun (dua dari kanan) bersama trofi yang dimenangi.
Mok Wen Sun (dua dari kanan) bersama trofi yang dimenangi.
Mok Wen Sun (dua dari kanan) bersama trofi yang dimenangi.

SEPANG: Juara dua kali Super Siri Malaysia, Mok Weng Sun dari Pasukan Porsche Club Singapore Racing mengungguli perlumbaan pertama dan kedua Siri GT Malaysia yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang, semalam.

Wen Sun yang juga juara Supercar pada 2008 dan 2009 mempamerkan aksi mantap dengan menggunakan jentera Porsche 997 GT3 Cup S untuk menewaskan pelumba negara, Tunku Hamman Sulong.

Tunku yang mengemudi jentera Lamborghini LP560. Tunku Hamman sekadar menamatkan perlumbaan di tempat kedua dalam perlumbaan pertama dan kedua.

Bermula di petak pertama, juara keseluruhan Perlumbaan Merdeka Millennium Endurance 2008 itu berada di depan sehingga ke garisan penamat untuk melakukan catatan 21:36.513 saat dalam perlumbaan 10 pusingan di litar sepanjang 5.543 kilometer.

Rentak pemanduan Wen Sun sedikit terjejas pada perlumbaan kedua sebelum dia kembali memintas Tunku Hamman di pusingan keempat untuk mendominasi kedua-dua saingan itu. Dia menamatkan perlumbaan dengan catatan 21:40.224 saat manakala pencabar terdekatnya, Tunku Hamman ketinggalan 2.16 saat.

Menurut Wen Sun, dia terpaksa mengharungi perlumbaan sukar memandangkan Tunku Hamman sentiasa memberi cabaran sengit sepanjang kedua-dua saingan itu.

"Saya amat gembira kerana memenangi perlumbaan pertama dan kedua hari ini (semalam)," katanya.

Perlumbaan kategori baru iaitu Cabaran Kereta Touring Malaysia (MTCC) yang mempunyai dua penyertaan pada pusingan awal diserapkan ke dalam Perlumbaan Siri Kereta Touring Asia.

Pada saingan itu, Harry Chai menamatkan perlumbaan pertama di tempat kelima sebelum memperbaiki kedudukan di tempat keempat pada perlumbaan kedua dengan jentera Honda EP3.

16 penyertaan yang turut disertai Harry dan Perajun Krishnan itu menyaksikan Liu Lic Ka yang mewakili pasukan IMSP memenangi perlumbaan pertama manakala perlumbaan kedua menjadi milik Mak Ka Lok dari pasukan RPM Racing.

Nasib tidak menyebelahi Perajun dalam edisi MTCC kali ini apabila Honda Integra DC2 yang dipandunya mengalami kerosakan kotak gear pada perlumbaan pertama.

Sementara itu, dalam kejuaraan Supersixteen, Damien Dielenberg yang merupakan juara bagi perlumbaan satu dan dua pada pusingan pertama bulan lalu turut mempertahankan kehebatannya kali ini.

Kemenangan itu membolehkan Damien mengumpul 100 mata setakat ini berbekalkan tiga perlumbaan yang masih perlu diharungi.

"Saya beraksi dengan cemerlang pada kedua-dua perlumbaan. Saya amat bertuah kerana jentera tidak menghadapi sebarang masalah. Mekanik kami melakukan kerja dengan baik minggu ini. Dalam setiap perlumbaan, mereka perlu memastikan enjin berada pada tahap terbaik," ujarnya.

Pusingan kedua MSS turut menampilkan Piala Bikers Hi-Rev pusingan kedua yang mencatatkan penyertaan tertinggi sebanyak 24 pelumba.

Perlumbaan pertama dimenangi juara Cub Prix Malaysia, Mohd Faisal Yahya manakala Ahmad Azhar Abdul Hamid muncul juara perlumbaan kedua.

Perlumbaan MSS pusingan ketiga akan diadakan pada 18 dan 19 Julai ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain