suria

Skuad Pelapis Basikal Negara Terus Cemerlang

KUALA LUMPUR: Skuad pelapis negara meneruskan aksi cemerlang dengan mengutip satu lagi pingat emas pada hari terakhir pertandingan pusingan kedua Kejohanan Piala Trek Asia 2010 yang berlangsung di Veldrome Cheras, di sini semalam.

Pelumba remaja Muhd Arfy Qhairant Amran merangkul gelaran juara bagi acara keirin junior dengan catatan dua minit 44.5561 saat, manakala rakan sepasukan Mohd Fattah Amri Zaid meraih pingat perak selepas menewaskan pelumba Iran, Seyed Reza Jebraielilaegan.

Muhd Arfy turut memungut satu gangsa bagi acara point race 16km lelaki junior dengah kutipan lapan mata.

Pingat emas acara tersebut menjadi milik pelumba Thailand, Stajakul Sainylam, sementara perak dimenangi Timur Gumerov dari Uzbekistan selepas masing-masing berjaya mengumpul 12 dan 10 mata.

Ketika ditemui Bernama selepas pertandingan, Muhd Arfy berkata dia berpuas hati dengan pencapaian hari ini dan berazam untuk memperkemaskan diri bagi menghadapi kejohanan-kejohanan pada masa depan.

"Saya bersyukur kerana apa yang dirancang untuk perlumbaan hari ini menjadi. Selepas ini saya akan memberi tumpuan penuh kepada persiapan untuk menghadapi saingan di Kejohanan Dunia Remaja yang akan berlangsung di Itali pada awal Ogos nanti," katanya.

Sementara itu, pengurus pasukan Azrain Mohamed Yusof berkata kejohanan tersebut adalah pendedahan yang cukup bermakna bagi skuad pelumba remaja.

"Kejayaan memperolehi tiga pingat emas, dua perak dan dua gangsa pada kejohanan ini merupakan satu bonus dan saya berbangga dengan kejayaan tersebut," katanya.

Beliau berharap skuad pelapis negara mampu melakukan satu lagi kejutan pada pada Kejohanan Dunia Remaja yang akan berlangsung di Itali pada 3 hingga 15 Ogos ini.

Penyampaian pingat kepada pemenang dilakukan Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain