suria

Skuad Pelapis Menang Dua Emas

KUALA LUMPUR: Pelumba pelapis negara mempamerkan aksi cemerlang apabila merangkul dua pingat emas pada hari pembukaan pusingan kedua Kejohanan Piala Trek Asia 2010 di Veldrome Cheras di sini semalam.

Pelumba muda, Mohd Fattah Amri Zaid berjaya meraih pingat emas bagi acara pecut lelaki junior setelah menewaskan pelumba Iran, Seyed Reza Jebraielilagan dengan catatan terbaik 11.99 saat.

Pingat emas kedua negara disumbangkan oleh trio Mohd Fattah, Muhd Mustaqim Abdul Kadir dan Muhd Arfy Qhairant dalam acara pecut berpasukan lelaki junior dengan menewaskan trio Iran dengan catatan masa satu minit 6.24 saat.

Kecemerlangan meraih emas itu bagaimanapun gagal diteruskan oleh pelumba muda Muhd Hazmer Azeman yang terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa bagi acara satu kilometer ujian masa di mana pelumba Thailand, Satjakul Sianylam meraih pingat emas dan pelumba Iran, Ali Morshedloo mendapat pingat perak.

Pingat gangsa kedua negara pula disumbangkan oleh trio kebangsaan yang dibarisi oleh Junaidi Mohd Nasir, Mohd Harrif Salleh dan Muhamad Syanil Baharum.

Trio negara mencatatkan masa 1 minit 4.3043 saat di mana trio Iran dan Jepun memperolehi pingat emas dan perak.

Perlumbaan yang sepatutnya dimulakan kelmarin terpaksa ditunda ke semalam ekoran cuaca hujan.

Sebelum ini, pada saingan pusingan pertama di Hokkaido, Jepun, dua minggu lepas, pasukan negara berjaya meraih dua emas, dua perak dan dua gangsa termasuk kejayaan Mohd Azizulhasni dalam acara keirin. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zulfahmi Raih Tempat Ke-22

Artikel Berikut

Artikel Lain