suria

Karamjit Harap Tuah Kereta Baru

KUALA LUMPUR: Pelumba rali terkemuka negara, Karamjit Singh kini berharap tuah kereta barunya, Mitsubishi Lancer Evo X yang bernilai lebih RM700,000 untuk kembali bersaing pada Kejohanan Rali Asia Pasifik tahun depan.

Pelumba berusia 48 tahun yang menjuarai Kejohanan Rali Malaysia selama 10 tahun berturut-turut berkata sebelum ini, dia dan rakannya Jagdev Singh menggunakan kereta Mitsubishi Lancer Evo V111 yang berusia lapan tahun tetapi sering mengalami kerosakan.

"Kereta lama kami, Mitsubishi Lancer Evo VIII, sudah berusia lapan tahun dan setelah sekian lama digunakan, ada bahagiannya yang perlu kerap diganti... terutama kotak gear dan brek.

"Keadaan kereta yang sudah berumur dan tidak berapa baik kadangkala akan mengganggu perlumbaan," katanya.

Dia berkata kereta Mitsubishi Lancer Evo V111 itu mengalami kerosakan teruk pada pusingan pertama Kejohanan Rali Malaysia ke-11 ketika perlumbaan dua pusingan sejauh 589 kilometer di Ladang Tai Tak di Johor dua bulan lepas.

Karamjit yang juga dikenali sebagai "the Flying Sikh" berkata kereta barunya yang ditaja oleh Tann Zoil akan diperoleh tahun depan bagi membolehkannya kembali kompetitif menyertai Kejohanan Rali Asia Pacifik (APRC).

Pada lapan tahun lepas, Karamjit pernah memenangi kategori kereta pengeluaran pada APRC.

Ketika ini katanya dia dan Jagdev membuat persiapan untuk menyertai perlumbaan pusingan kedua Kejohanan Rali Malaysia ke-11 sejauh 400km di Bahau, Negeri Sembilan dari 17 dan 18 Julai.

Kejohanan Rali Malaysia ke-11 yang merangkumi empat pusingan bermula April lepas di Johor, manakala pusingan ketiga dan keempat akan berlangsung di Perak dan Perlis pada Oktober dan Disember.

Kejohanan itu turut disertai empat negara iaitu India, Jepun, Indonesia dan Malaysia selaku tuan rumah.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain