suria

Peserta Perahu Layar Rali Singgah Di Kuala Terengganu

KUALA TERENGGANU: Sebanyak 38 buah rali perahu layar 'Sail Malaysia Passage to the East' melibatkan 80 pelayar dari pelosok dunia kini berada di Bandaraya Warisan Pesisir Air Kuala Terengganu.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar berkata mereka datang daripada beberapa negara termasuk Perancis, Belgium, Australia, England, New Zealand, Belanda, Amerika Syarikat, Itali, Afrika Selatan dan negara-negara jiran termasuk Thailand dan Singapura tiba semalam.

"Peserta perahu layar ini merupakan komuniti pelancong yang berbeza daripada pelancong lain. Mereka akan belayar meredah lautan dan akan singgah di mana-mana destinasi yang mempunyai kemudahan marina dan tarikan pelancong," katanya pada majlis sambutan ketibaan peserta perahu layar berkenaan di Marina Pulau Duyong di sini.

Semasa berada di Kuala Terengganu selama empat hari, pelayar berkenaan akan dibawa melawat Tasik Kenyir serta tarikan pelancongan sekitar bandar seperti Muzim Negeri, Taman Tamadun Islam, Masjid Terapung dan Pasar Kedai Payang sebelum berlepas ke Kuching, Sarawak.

Wan Abdul Hakim berkata rali itu adalah sebahagian daripada program "Sail Malaysia Passage to The East" bagi Mei dan Ogos manakala "Sail Malaysia Darwin-Langkawi Passage" pada bulan Julai dan Disember ini.

Katanya pada tahun lalu sebanyak 27 buah perahu layar bersama 54 pelayar menyertai program itu yang singgah di Kuala Terengganu dan berjaya memperkenalkan destinasi-destinasi pelancongan negeri itu.

Beliau berkata kebanyakan mereka berada di Terengganu selama tiga hingga empat minggu untuk menikmati keindahan pulau-pulau, menyelam skuba sambil mengisi masa melawat produk dan destinasi pelancongan bagi mengenali lebih dekat cara hidup, kesenian, kebudayaan dan masyarakat setempat.

Wan Abdul Hakim berkata pada tahun ini kesinambungan daripada rali itu, Sail Malaysia menganjurkan Rali Perahu Layar dari Langkawi ke Kota Kinabalu dan Kuala Terengganu adalah antara hentian wajib kepada semua pelayar progam itu.

Katanya Terengganu secara tradisinya merupakan destinasi pelayaran, yang masih belum dikenali ramai, memandangkan laluan di Laut China Selatan bukan merupakan laluan utama.

"Jadi Sail Malaysia bermatlamat mengubah presepsi itu dan menggalakkan pelayar menggunakan laluan di sebelah pantai timur Semenanjung sambil berpeluang menikmati keunikan alam semula jadi, tradisi dan warisannya," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain