suria

Perancis: Berakhirnya Satu Era...

DENGAN tersingkirnya Perancis dari pusingan peringkat kumpulan di pertandingan akhir bolasepak Piala Dunia maka berakhirlah juga satu era penuh gemilang sepanjang 12 tahun sejak pasukan itu memenangi piala tersebut pada tahun 1998 di bawah kepimpinan Zinedine Yazid Zidane.

Thiery Henry yang merupakan saki baki daripada era kegemilangan pasukan Perancis itu boleh menyifatkan perlawanan menentang Afrika Selatan semalam sebagai yang terakhir baginya.

Malah tidak seperti rakan-rakan seangkatan dengannya yang telah pencen dari arena antarabangsa dengan penuh bangga seperti Fabian Bartez, Laurent Blanc, Bixente Lizarazu, Didier Dischamps, Makelele dan Marcel Desailly, beliau bermula sebagai sang juara dan berakhir dengan penuh keaiban dan penghinaan.

Henry bermula dengan memenangi Piala Dunia, empat tahun selepas itu sebagai naib juara Piala Dunia dan kini mengakhiri karier antarabangsanya dengan tangan kosong malah penuh kehampaan.

Ada penganalisis sukan yang mengatakan apa yang terjadi kepada skuad Perancis hari ini membuktikan bahawa mereka dari awal lagi memang tidak layak untuk ke pusingan akhir Piala Dunia.

Mereka layak pun atas ihsan 'tangan' Henry yang mencipta gol kemenangan Perancis ketika menentang Ireland dalam perlawanan play-off Zon Eropah.

Jika tidak kerana gol yang dibantu dengan tolakan tangan Henry di dalam kawasan kotak penalti Ireland, sudah pastinya yang bermain dalam pusingan akhir ialah Ireland dan bukannya Perancis.

Tidak cukup dengan apa yang terjadi dalam kem pasukan Perancis apabila Nicolas Anelka diarah pulang dan hampir keseluruhan pasukan negara itu memboikot sesi latihan dan ada setengah daripadanya enggan bermain dalam perlawanan terakhir menentang Afrika Selatan, pengurusnya, Raymond Domenech masih hendak menunjukkan ego dan kesombongan yang melampau apabila beliau enggan berjabat tangan dengan pengurus Afrika Selatan, Carlos Alberto Parreira.

Adegan tersebut telah diulang tayang di seluruh dunia berulang kali malam semalam dan dikutuk oleh para pengulas sukan sebagai pelengkap kepada kejatuhan era kegemilangan pasukan Perancis.

Kini pasukan Perancis akan pulang ke Paris dan Persekutuan Bolasepak Perancis hanya membuat tempahan tiket penerbangan kelas ekonomi untuk kesemua delegasi Perancis termasuk pengurusnya yang sombong dan bongkak itu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain