suria

Kelemahan Mental Punca Rentak England Hambar

FABIO Capello menegaskan kelemahan mental adalah punca utama yang menyebabkan prestasi England pada perlawanan Piala Dunia di Afrika Selatan kali ini hambar.

England belum mencatat sebarang kemenangan setakat ini dan sekadar terikat seri 1-1 dengan Amerika Syarikat (AS) dan 0-0 dengan Algeria.

Pada perlawanan malam esok, England mesti menewaskan Slovenia dalam aksi peringkat Kumpulan C untuk menjamin tempat ke pusingan kalah mati.

Capello bagaimanapun mempunyai pandangan sendiri mengenai apa yang mengganggu konsentrasi skuadnya.

"Ia melibatkan perkara berkaitan mental. Apabila anda tertekan, kadang kala kaki ada tidak berfungsi dengan baik," kata Capello.

Skuad The Three Lions itu akan tersingkir jika kecundang kepada Slovenia. Keputusan seri akan menyebabkan mereka terpaksa bergantung kepada keputusan perlawanan di antara AS dan Algeria.

Keputusan seri 0-0 atau 1-1 akan menyaksikan England pulang lebih awal jika AS mencatat kemenangan. Algeria akan melayakkan diri jika menundukkan AS.

England memenangi sembilan daripada 10 perlawanan dalam pusingan kelayakan ke final dan menjaringkan 34 gol, jumlah gol tertinggi yang dicatatkan sebuah pasukan dalam kelayakan Eropah.

Capello menegaskan mereka perlu memenangi perlawanan itu.

"Selepas perlawanan awal pagi Sabtu lalu, kami tiada lagi peluang. Kami perlu menang," tegasnya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain