suria

Nasib Jerman Diketahui Awal Pagi Khamis Ini

HARAPAN Jerman untuk mara ke pusingan kedua Piala Dunia yang kelihatan kukuh beberapa hari lalu, kini terpaksa bergantung kepada kelincahan penyerang yang akan diturunkan ketika menentang Ghana, awal pagi Khamis ini.

Jerman yang mencatatkan kemenangan besar 4-0 ke atas Australia pada perlawanan pembukaan Kumpulan D berada pada laluan selesa untuk mara ke kelompok 16 akhir sebelum tewas mengejut 0-1 kepada Serbia.

Kini Jerman perlu berdepan senario mengerikan iaitu perlu menundukkan Ghana pada pusingan akhir peringkat kumpulan di saat penyerang sensasi Miroslav Klose digantung perlawanan.

Kad merah yang dipungut Klose ketika bertemu Serbia menyebabkan Pengurus Joachim Loew terpaksa memilih penyerang kreatif yang tepat pada saat getir ini.

Ghana menduduki tangga teratas peringkat kumpulan dengan menggumpul empat mata di depan Jerman dan Serbia dengan tiga mata.

Australia yang sekadar mengutip satu mata akan bertemu Serbia pada pusingan akhir Kumpulan D juga pada waktu dan hari yang sama di Nelspruit.

"Saya akan tunggu sehingga selepas latihan final hari ini sebelum memutuskan siapa yang akan diturunkan sebagai penyerang. Namun setiap pemain, setiap penyerang bersedia dan tidak sabar untuk beraksi," kata Loew.

Penyerang yang berkemungkinan besar akan diturunkan adalah Cacau yang menjaringkan tiga gol dalam dua perlawanan persahabatan sebelum Piala Dunia. Dia turut menjaringkan gol ke atas Australia pada aksi pembukaan 14 Jun lalu.

Loew menegaskan dia tidak akan melakukan perubahan drastik memandangkan lima pemain muda sudah dilayangkan kad kuning dan siapa tahu kad kuning seterusnya akan menyaksikan mereka terlepas perlawanan jika Jerman berjaya mara ke pusingan kalah mati.

"Di sebalik kekalahan itu mereka belajar banyak perkara daripada pertemuan dengan Serbia. Tiada tanda-tanda menyerah kalah dalam skuad ini," tambahnya.

Artikel Sebelum

Uruguay Atasi Mexico 1-0

Artikel Berikut

Artikel Lain