suria

Kah Yan, Karthik Atlet Terbaik Sukma Melaka

MELAKA: Atlet olahraga Melaka, J. Karthik dan perenang Wilayah Persekutuan, Chan Kah Yan, masing-masing dipilih sebagai atlet terbaik temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-13 di sini, semalam.

Kedua-dua mereka menerima trofi selaku olahragawan dan olahragawati Sukma daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Karthik, 21, yang terkenal dengan larian jarak jauh, berjaya mencipta rekod Sukma yang baru dalam acara 3,000m lari berhalangan, di mana beliau mencipta rekod baru Sukma dengan catatan masa 9:20.25s mengatasi rekod lama iaitu 9:24.06s milik atlet Perak S. Vikkram pada Sukma Kedah 2006.

Pada temasya kali ini juga beliau meraih pingat emas dalam acara 5,000m dan 10,000m.

"Ia adalah suatu pencapaian yang tidak saya duga apabila dipilih sebagai atlet terbaik Sukma kali ini. Jika di Terengganu, saya hanya mampu raih gangsa, saya telah tanam keazaman untuk raih pingat emas di negeri kelahiran saya sendiri," kata Karthik.

Beliau mula menjinakkan diri dalam acara olahraga sejak 15 tahun dulu di bawah bimbingan bapanya, M. Ramachandran, seorang bekas atlet kebangsaan.

Sementara itu Kah Yan, 18, mencipta kejayaan tersendiri selepas berjaya meraih tujuh pingat emas dan dua perak pada temasya kali ini.

"Saya sememangnya tidak mensasarkan sebarang kejayaan di sini tetapi hanya mahu mencari semula catatan masa terbaik selepas saya berehat selama setahun daripada acara renang untuk memberi tumpuan kepada pelajaran," katanya.

Ratu renang Sukma ini turut mencipta rekod baru Sukma dalam acara 100m gaya bebas dan 4x100m rampaian wanita.

Beliau memadam rekod dua tahun lepas iaitu 58.14s milik Leung Chii Lin dengan catatan masa baru, 58.10s dalam acara 100m gaya bebas.

Kah Yan turut membantu kuartet Wilayah Persekutuan meraih pingat emas dan mencipta rekod baru acara 4x100m rampaian dengan catatan masa 4:25.82s mengatasi rekod terdahulu 4:27.12s milik kuartet Sabah yang dibuat pada temasya Sukma Terengganu pada 2008.

Sementara itu kontinjen Terengganu menjadi pasukan terbaik Sukma Melaka selepas memenangi 47 pingat emas, 30 perak dan 43 gangsa.

"Walaupun sasaran untuk mencapai 66 pingat emas tidak tercapai, kami amat berpuas hati dengan pencapaian kali ini kerana kontinjen-kontinjen lain juga mempamerkan peningkatan yang seimbang.

"Selepas menjadi tuan rumah dua tahun lepas, kami telah mempersiapkan diri untuk muncul sebagai kuasa baru dalam bidang sukan. Beberapa acara telah membuktikan kejayaan hasil daripada program latihan berterusan yang dilakukan," kata Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu Rosdi Awang. - BERNAMA

Artikel Lain