Terbuka Singapura: Chong Wei Tewas Kepada Sony - Sukan | mStar

Terbuka Singapura: Chong Wei Tewas Kepada Sony

SINGAPURA: Lee Chong Wei ditewaskan, begitu juga dengan gandingan Gan Teik Chai dan Tan Bin Shen, sekali gus menamatkan cabaran Malaysia dalam kejohanan badminton Terbuka Singapura semalam.

Chong Wei, pilihan utama kejohanan dalam acara perseorangan lelaki dan juara 2008, ditundukkan oleh pemain Indonesia, Sony Dwi Kuncoro dalam perlawanan suku akhir di Stadium Tertutup di sini.

Sony, pilihan ketujuh, menang 7-21, 21-19, 21-15 untuk melangkah ke separuh akhir menentang pemain bukan pilihan dari India, Kashap Paruppali, manakala Chong Wei terpaksa pulang awal ke tanah air untuk membuat persediaan bagi Terbuka Indonesia minggu depan.

Ia bukanlah satu persembahan yang dijangkakan oleh penonton daripada pemain nombor satu dunia itu.

Mereka cuba memberi sorakan semangat namun Chong Wei gagal melakukan keajaiban bagi menafikan pemain nombor satu Indonesia itu tiket untuk empat tempat akhir.

"Sikap saya yang enggan menyerah kalah menyumbang kepada kemenangan saya hari ini. Selepas kalah dalam set pertama dan ketinggalan 1-5 dalam set kedua, saya cekalkan diri supaya tidak kehilangan mata lagi," kata Sony.

Beliau memenangi set kedua 21-19 dan mengumpul semula keyakinan untuk meningkatkan persembahan dan banyak melakukan serangan.

Taktik itu membuahkan hasil dan Sony, yang mengalahkan Chong Wei dalam dua Kejohanan Dunia sebelum ini di Kuala Lumpur pada 2007 dan Hyderabad tahun lepas menang 21-15.

Bagi Chong Wei, Terbuka Singapura 2010 menyaksikan beliau dikalahkan oleh dua pemain kurang ternama Brice Leverdez dari Perancis dalam pusingan pembukaan serta pemain Indonesia Rumbawa Hayom dalam pusingan kedua pada Khamis dan terkeluar daripada saingan pada pusingan ketiga.

"Tak apalah. Saya kalah kepada pemain yang lebih baik hari ini dan persiapan saya yang tertumpu ke arah Kejohanan Dunia di Paris pada Ogos ini, akan diteruskan," katanya.

Terdahulu, pasangan Gan Teik Chai dan Tan Bin Shen kalah kepada beregu dari Korea Selatan, Ko Sung Hyun dan Yoo Teon Seong dalam acara suku akhir beregu lelaki. Gandingan dari Korea itu yang mengetepikan pilihan utama dari Malaysia, Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong pada Khamis dengan mencatat kemenangan 21-17, 21-10 dalam masa hanya 28 minit.

Peter Gade, pilihan kedua kejohanan, menang 17-21, 21-8, 21-17 ke atas Simon Santoso dari Indonesia dalam perlawanan suku akhir untuk menempah tiket ke separuh akhir di mana beliau akan berdepan juara 2007, Boonsak Ponsana, dari Thailand, hari ini.

Boonsak mengalahkan Dicky Palyama dari Belanda 21-14, 21-5 dalam perlawanan suku akhir manakala Kashap pula mengetepikan rakan senegara dari India Arvind Bhat 21-17, 21-16.

Pilihan utama perseorangan wanita, Saina Nehwal dari India, berjaya mara ke separuh akhir setelah menang 21-17, 21-14 ke atas pemain China, Li Xueri.

Beliau akan bertemu juara bertahan dari China, Lu Lan dalam saingan separuh akhir hari ini manakala Bae Youn Joo dari Korea Selatan pula berdepan Tai Tzu Ying dari Chinese Taipei dalam satu lagi perlawanan separuh akhir. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Statistik Perlawanan Slovenia - AS

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Carum Perkeso untuk dilindungi walau bekerja sendiri kerana malang tidak berbau!

MATLAMAT utama mengumpul duit dan trip perjalanan, tapi adakah pemandu pengangkutan awam menyedari ‘malang tidak berbau’ ketika bekerja?

default image

Penggunaan air di Malaysia lebih tinggi daripada negara jiran? Jom kita jimat air!

ADAKAH penggunaan air kita setiap hari ke arah penjimatan atau pembaziran?

default image

WKB 2030: Gandingan kerajaan-swasta penting untuk manfaat rakyat

SEKTOR swasta perlu berganding bahu dengan kerajaan sebagai fasilitator untuk memperbaiki ketidakseimbangan pendapatan di negara ini.

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030... ketahui suara dan harapan rakyat

RAKYAT menantikan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 yang dapat memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat.

default image

Agenda bumiputera masih keutamaan WKB 2030

STATISTIK oleh Institut Masa Depan Malaysia (Masa), bumiputera berada di bahagian bawah apabila ia berkaitan dengan pemilikan kekayaan dan tahap pendapatan.

Artikel Lain